PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dengan tekad memperkukuh peranan cabang dan jentera akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, kekuatan sebenar PKR terletak pada cabang dan anggota akar umbi yang menjadi tulang belakang parti sejak lebih dua dekad lalu.
“Saya amat menghargai pengorbanan para pimpinan dan anggota di peringkat cabang serta segala sokongan serta cadangan yang menjadi sandaran kepada keputusan saya hari ini.
“PRU16 tidak boleh dimenangi oleh mana-mana individu secara bersendirian. Kemenangan hanya akan hadir melalui kesatuan kekuatan cabang, jentera akar umbi dan strategi penerangan yang efektif,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Izzah berkata, sekiranya diberi peluang, misinya adalah untuk bekerja bersama anggota, penyokong dan sukarelawan di seluruh negara, khususnya di 50 kerusi marginal bagi memastikan PKR tampil dengan jentera yang tersusun dan kempen menyentuh keperluan rakyat.
Katanya, sudah tiba masa bagi PKR kembali kepada ideologi asal perjuangan iaitu membawa keadilan sosial dan ekonomi kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang atau kepercayaan.
“Saya komited untuk terus memperkasa cabang-cabang agar kita dapat bergerak sederap dan bersatu dalam matlamat yang sama.
“Sama ada dipilih atau tidak, kasih dan taat setia saya kekal bersama KEADILAN,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Izzah turut menzahirkan rasa terkilan terhadap serangan peribadi yang dilemparkan oleh sesetengah penyokong parti termasuk memperlekeh status perkahwinannya sepanjang kempen berlangsung.
Beliau menyeru agar semua ahli dan penyokong parti mengamalkan adab serta hikmah dalam berbeza pandangan sepanjang proses pemilihan parti berlangsung.
“Saya tidak terkilan kerana tohmahan itu semata-mata tetapi kerana ia datang daripada keluarga besar KEADILAN sendiri.
“Kita boleh bertembung idea dan berbeza pendapat tetapi berhujahlah dengan fakta bukan dengan emosi, hinaan atau kata-kata kesat,” tegasnya.
Nurul Izzah turut mengajak semua anggota PKR untuk bersama membina semula kekuatan parti, menjaga idealisme perjuangan dan memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen agar terus kekal relevan kepada rakyat.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN 2025-2028.
“Sekiranya perwakilan merasakan saya sesuai untuk menggalas amanah ini, InsyaAllah saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, teka-teki Nurul Izzah bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden akhirnya terjawab selepas pencalonan itu disahkan melalui semakan dalam laman web Pemilihan PKR.
Sejak beberapa hari lalu, ramai pemimpin tertinggi dan peringkat cabang menyatakan sokongan serentak terhadap Naib Presiden parti itu bagi merebut jawatan nombor dua tersebut.
Sebelum ini, jawatan itu dimenangi oleh Datuk Seri Rafizi Ramli setelah menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada 2022.
Gelombang sokongan terhadap Nurul Izzah muncul selepas Rafizi mengambil cuti, susulan pemilihan peringkat cabang PKR yang menyaksikan kekalahan beberapa tokoh penting yang berpihak kepadanya. – UTUSAN










