Nurul Izzah diharap sahut debat Rafizi - Akmal

Nurul Izzah diharap sahut debat Rafizi – Akmal

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran Sambutan Hari Belia 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sungai Chuchu, Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diharap dapat mempertimbangkan semula pelawaan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk berdebat memandangkan ia adalah budaya parti itu sejak sekian lama.

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, debat adalah budaya di dalam parti bagi mencambahkan lagi pemahaman setiap pihak terhadap sesuatu perkara.

Katanya, penganjuran debat atau perbahasan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR itu dapat menjadi medan bagi melunaskan segala pandangan daripada kedua-dua calon berbanding hanya bercakap di hadapan sekumpulan penyokong masing-masing.

“Sebab itu, bagi saya, sebaiknya kalau boleh saya masih harapkan sebelum berlaku pemilihan Jumaat ini, kita buat perbahasan atau perdebatan antara calon Timbalan Presiden PKR itu. Biarlah kita bersemuka dan berhujah menggunakan asas-asas yang akhirnya memperkuatkan parti,” katanya di sini hari ini.

Rafizi sebelum ini melontarkan cabaran debat kepada Nurul Izzah menjelang perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu sekali gus meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menolak cabaran itu dan menyifatkan keutamaan beliau ketika ini bukan kepada aktiviti yang boleh memburukkan lagi pertikaian dalaman PKR.

Sementara itu, Akmal berkata, sebelum ini sememangnya dimaklumkan bahawa keputusan awal telah dicapai supaya pemilihan parti diteliti terlebih dahulu agar dapat ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Ini juga adalah mengikut amalan di beberapa negara luar bahawa pilihan raya itu biasanya dimulakan dulu sebelum pemilihan dalam kalangan parti politik dibuat selepas itu. Namun keputusan itu dipinda kemudiannya sehingga berlakulah pemilihan kali ini.

“Jadi bagi saya, walaupun dah ada persetujuan awal, namun bila berlaku pemilihan, maka masing-masing wajar berkempen sebaik mungkin,” katanya.

Tambah Akmal, beliau juga berpandangan setiap calon bertanding mempunyai kelebihan masing-masing untuk menang namun pihaknya juga mengharapkan proses pemilihan dapat berlangsung dengan sebaik mungkin.

“Rafizi dan Nurul Izzah kini juga giat berkempen seluruh negara dan ini membolehkan perwakilan membuat pilihan bukan semata-mata atas arahan atau sesuatu perkara, tapi lebih kepada pemahaman mereka untuk pilih hala tuju parti yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN