PETALING JAYA: Kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua motosikal di hadapan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini semalam dipercayai berpunca dari masalah brek.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang menyebabkan sebuah lori terbabas dan merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal yang juga anggota tentera dalam perjalanan dari kuarters Kem Paya Jaras ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Semasa mangsa membelok masuk ke arah parkir di belakang masjid, datang sebuah lori dipandu lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai hilang kawalan akibat masalah brek terus melanggar mangsa sehingga terperosok ke bawah lori.
“Lori berkenaan turut merempuh sebuah lagi motosikal yang diparkir, gerai makan dan dinding konkrit masjid,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, mangsa tersepit di bawah lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, jenazah mangsa diuruskan oleh pihak tentera dan akan dibawa pulang ke kampung halaman di Sarawak untuk urusan pengebumian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222. – UTUSAN










