AI tak boleh ganti tugas, peranan wartawan - Fahmi Fadzil

AI tak boleh ganti tugas, peranan wartawan – Fahmi Fadzil

FAHMI Fadzil ketika berucap pada Majlis Perasmian Pemukiman Media Malaysia 2.0 2026 di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak boleh menggantikan tugas serta peranan yang dimainkan oleh wartawan ketika ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sehubungan itu, semua pihak khususnya pengamal media perlu memastikan agar penggunaan teknologi itu dapat dikawal demi masa depan industri kewartawanan.

Fahmi berkata, beliau pernah didatangi oleh sebuah entiti sebelum ini yang memohon untuk menggunakan Dana Inovasi Media bagi membangunkan aplikasi AI.

“Tuan-tuan, puan-puan nak tahu apa jawapan saya? Saya minta mereka keluar. Saya tak nak layan aplikasi macam ini. Bagi saya, wartawan itu sangat penting. Kita tidak boleh ganti (peranan) wartawan dengan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Pemukiman Media Malaysia 2.0 2026 di Seberang Jaya di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tanpa wartawan, berita tidak boleh dihasilkan dengan baik dan berkualiti kerana wartawan menulis dengan menggunakan pertimbangan manusia, pengesahan fakta serta kefahaman terhadap konteks sesuatu isu berbanding AI.

“Jadi, bagi saya, wartawan itu sangat penting, tidak boleh digantikan (wartawan) dengan AI kerana fungsi wartawan adalah menjadi saksi, mengumpul maklumat, sumber primer berdasarkan disiplin, pengalaman, keupayaan, mengolah dan menjadikan berita,” ujar beliau.

Tambahnya, Kementerian Komunikasi juga prihatin terhadap cabaran yang terpaksa dihadapi oleh organisasi media ketika ini termasuk terpaksa mengurangkan kakitangan akibat tekanan ekonomi serta perubahan landskap industri.

Justeru, beliau meminta ahli komponen Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memaklumkan kepada pihaknya berhubung perkara tersebut agar bantuan yang sesuai dapat dipertimbangkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN