KOTA BHARU: Kelantan City FC mempertaruhkan sentuhan bola sepak Brazil apabila mengikat khidmat jurulatih berpengalaman dari negara itu, Wanderley Machado Da Silva Junior bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2026-2027.
Pemilik bersama kelab, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan Wanderley Machado dibuat secara teliti dengan mengambil kira rekod cemerlang beliau ketika membimbing beberapa kelab di Indonesia dan Thailand.
Menurutnya, kehadiran jurulatih berkenaan diharap mampu menerapkan corak permainan Brazil yang lebih sesuai dengan kemampuan serta kelebihan dimiliki pemain tempatan.
“Kita mahu menerapkan corak Brazil dalam gaya permainan pasukan yang dirasakan lebih bersesuaian dengan barisan pemain tempatan yang kebanyakannya berbakat besar serta mempunyai skil individu masing-masing.
“Wanderley Machado berpengalaman luas dalam arena bola sepak Asia Tenggara termasuk pernah membantu Lamphun Warrior FC muncul juara Thai League 2 dan melangkah ke Thai League 1 pada musim 2021-2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Logo Baharu dan Barisan Kejurulatihan Kelantan City FC Musim 2026-2027 di sini hari ini.
Annuar berkata, proses pembentukan skuad Kelantan City FC kini berjalan lancar apabila 90 peratus barisan pemain tempatan sudah dilengkapkan dengan hanya empat hingga lima kekosongan masih perlu diisi.
Katanya, pasukan itu turut hampir memuktamadkan pengambilan tiga pemain import termasuk seorang penyerang dari Brazil yang meledak 23 gol musim lalu serta pernah muncul penjaring terbanyak liga sebanyak dua kali.
“Pengambilan tiga pemain import berkenaan hampir dimuktamadkan dan kita jangka kehadiran mereka dapat diumumkan bersama-sama barisan pemain tempatan dalam masa terdekat.
“Ini merupakan usaha kita untuk membentuk identiti pasukan dan memperkuatkan Kelantan City FC untuk bersaing dalam Liga A1 dan mungkin juga Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.










