PETALING JAYA: Video yang dimuat naik oleh penyanyi, Amira Othman di akaun Tiktok miliknya mengundang perhatian netizen apabila melihat Fattah Amin di dalam video tersebut.
Rata-rata di ruangan komen menunjukkan peminat teruja dan seakan tidak percaya apabila penyanyi itu sendiri memuat naik video tersebut.
“Aku macam tak percaya kak long (Amira Othman) masukkan muka abang long (Fattah Amin) dekat Tiktok dia,” kata warganet.
“Sungguh tidak ku sangka, ini akaun sebenar Amira Othman,” kata pengguna lain.
“Aku buka mata besar-besar tengok akaun Amira Othman, biar betul kak long ‘post’ dalam tiktok dia, ke aku mamai,” kata warganet lain berseloroh.
Video berdurasi 14 saat itu menunjukkan pelakon, Fattah Amin melakukan ‘trend’ ‘tembak-tembak’ dan memperoleh 1,136 komen, 51.8 ribu tanda suka dan 4,274 kongsi setakat ini.
Lebih menarik perhatian warganet apabila pelawak, Bell Ngasri turut berada dalam video tersebut dan mengikuti sahaja Fattah melakukan ‘trend’ tersebut dengan pura-pura pengsan selepas ‘ditembak’.
Dalam pada itu, warganet turut bergurau dengan mengatakan rupa paras pelawak itu semakin kacak apabila berkawan dengan Fattah Amin.
“Sejak Bell berkawan dengan Fattah, dia pun aku nampak kacak,” kata warganet.
“Dah kenapa si Bell nampak macam Fattah Amin juga rupanya,” kata pengguna lain.
Terdahulu, Fattah Amin dan Amira Othman pernah didakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Mei depan, namun disangkal oleh pelakon lelaki itu.
Lebih mengundang perhatian netizen apabila penyanyi lagu Jaga-Jaga dan pelakon Kulit Wayang itu pernah memakai pakaian yang sama warna sewaktu berjumpa dengan keluarga kedua-dua belah pihak.-UTUSAN