KANGAR: Lebih 30 peratus daripada 1,750 hektar kawasan tanaman harumanis di Perlis kini terbiar, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan buah ikonik negeri itu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, antara faktor kebun terbiar atau bermasalah itu berpunca daripada perubahan generasi yang menyaksikan anak-anak pengusaha sebelum ini tidak berminat untuk meneruskan kebun.
Katanya, faktor lain ialah pengusaha mula berputus asa selepas beberapa musim tidak berbuah dan tidak sanggup menanggung kos terlalu tinggi dalam aspek penjaga harumanis.
“Lebih 50 peratus pengusaha harumanis di Perlis kini berusia 60 tahun ke atas dan tidak lagi mampu menguruskan tanaman, sekali gus tiada generasi pelapis. Situasi ini menyebabkan banyak kebun terbiar dan ada yang terpaksa dijual.
“Selain itu, ada dalam kalangan pekebun sudah mula berputus asa apabila hasil tidak menentu dan ada juga yang beberapa musim tidak berbuah. Faktor lain, kos penjagaan terlalu tinggi iaitu sekilogram buah menelan kos hingga RM12.
“Kos terlalu tinggi dan penjagaan sepanjang tahun dan apabila hasil tidak seperti diharapkan membuatkan pengusaha mula berputus ada seterusnya ada yang beralih kepada tanaman lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Masalah tersebut tidak boleh dipandang ringan dan jika tidak ditangani dengan baik boleh menyaksikan sehingga 60 peratus kebun terbiar pada masa hadapan.
Katanya, kerajaan negeri perlu bersama persatuan pengusaha harumanis mencari kaedah atau jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah tersebut.
“Antara cadangan, wujudkan sebuah syarikat atau perbandanan harumanis Perlis bagi menguruskan tanaman milik negeri seterusnya mengambil alih kebun-kebun terbiar ini.
“Syarikat berkenaan perlu diberi tanggungjawab menguruskan tanaman dan menyusun strategi atau aktiviti penanaman harumanis di Perlis.
“Produk ikonik Perlis ini perlu diuruskan dengan strategik dan berbentuk komersial,” katanya.
Hasil harumanis musim ini dijangka sekitar 3,000 tan metrik dan ia boleh melonjak sehingga mencecah 4,000 tan metrik jika masalah berkenaan dapat diatasi.
“Sekarang kalau dilihat, ada dalam kalangan pengusaha menanti masa untuk menjual kebun harumanis atau terbiar begitu sahaja. Orang muda kebanyakan tidak berminat menguruskan tanaman harumanis yang memerlukan penjagaan rapi dan konsisten,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan, hasil harumanis Perlis musim ini dijangka 2,963.32 tan metrik dengan sasaran pendapatan atau jualan dianggarkan mencecah sehingga RM74,083,000.
Musim harumanis di Perlis dijangka bermula pertengahan Mac membabitkan keseluruhan kawasan tanaman sehingga 1,775,56 hektar melibatkan 2,631 pengusaha di seluruh negeri ini. – UTUSAN










