PETALING JAYA: Saranan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperkemaskan statut perlembagaan badan induk itu perlu dilihat dari pelbagai sudut terutama amalan demokrasi dalam pemilihan barisan anggota jawatankuasa.
Pun begitu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Pekan Ramli berpendapat, FAM sewajarnya mengubah perlembagaannya agar bekas Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM penggal 2025-2029 yang meletakkan jawatan secara mengejut Januari lalu tidak dibenarkan bertanding.
“Sekurang-kurangnya bagi penggal yang seterusnya. Jika tidak, apa guna mereka letak jawatan namun pada akhirnya mereka boleh kembali bertanding seperti biasa. Saya percaya setakat ini tiada lagi statut perlembagaan mengenai perkara ini.
“Keduanya, FAM perlu mengubah perlembagaan dengan memperbanyakkan lagi ahli gabungan supaya jumlah undian bagi pemilihan Exco dibuat dengan jumlah yang lebih besar, bukan hanya pada persatuan negeri sahaja.
“Apabila jumlah ahli gabungan lebih besar, nak manipulasi undian pun sukar. FAM tidak boleh mengamalkan pemilihan terlalu tertutup sehingga ia boleh dikawal oleh pihak luar,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John mencadangkan agar FAM melangsungkan kongres luar biasa bagi mendapat persetujuan mengubah statut sebelum Jun ini.
Langkah tersebut perlu dilakukan bagi melancarkan kongres pemilihan Exco yang dijangka berlangsung pada Ogos. – UTUSAN










