Polis siasat 33 kes palsu MC

Polis siasat 33 kes palsu MC

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend penjualan sijil cuti sakit (MC) palsu dikesan masih berlaku apabila sebanyak 33 kes pemalsuan direkodkan bagi tempoh lima tahun sejak 2022 hingga 23 Mac lalu

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebanyak 33 tangkapan dilakukan dan 10 kes telah dituduh di mahkamah dalam tempoh sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pengesanan kegiatan tersebut adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pihak majikan.

Katanya, setiap maklumat diterima akan disiasat secara menyeluruh bagi menentukan kesahihan serta mengenal pasti kewujudan elemen sindiket terancang.

“Antara taktik digunakan termasuk menggunakan identiti klinik atau doktor tanpa kebenaran, menyediakan dokumen palsu yang menyerupai format rasmi serta meminda maklumat pada sijil cuti sakit yang sah seperti tarikh dan tempoh cuti.

“Kegiatan ini juga dipercayai dijalankan melalui platform dalam talian bagi memudahkan urusan penjualan kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, siasatan setakat ini tidak mendapati penglibatan pengamal perubatan berdaftar dalam kegiatan berkenaan.

“Namun siasatan akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan identiti atau profesion perubatan untuk tujuan penipuan,” jelasnya.

Rusdi berkata, individu yang membeli atau menggunakan MC palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 420, Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jelasnya, ketika ini tiada kerjasama khusus dijalinkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu berkenaan namun pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama strategik pada masa hadapan.

“JSJK melaksanakan pemantauan berterusan terhadap trend dan modus operandi selain mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan terlibat,” jelasnya.

Sementara itu, Rusdi berkata, majikan disaran agar membuat pengesahan dengan klinik atau hospital yang mengeluarkan sijil cuti sakit selain meneliti keabsahan format dan maklumat pada dokumen berkenaan.

“Majikan juga digalakkan mewujudkan polisi dalaman yang jelas berkaitan penggunaan cuti sakit serta mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peraturan sedia ada,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, laporan Utusan Malaysia mendedahkan lebih empat juta daripada keseluruhan 17.49 juta pekerja di negara ini pernah berpura-pura sakit dengan membeli sijil cuti sakit atau MC.

Kajian oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendapati, 26 peratus pekerja mengaku pernah berpura-pura sakit untuk mendapatkan MC manakala 57 peratus majikan pula pernah berdepan dengan situasi pekerja mengambil MC tanpa sebab munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN