Jejak digital bantu HR kenal pasti MC palsu

Jejak digital bantu HR kenal pasti MC palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti pekerja di media sosial sepanjang tempoh cuti sakit (MC) kini menjadi ‘jejak digital’ yang membantu pihak Jabatan Sumber Manusia (HR) mengenal pasti para pekerja yang berkemungkinan memalsukan MC mereka.

Pakar bidang sumber manusia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Novel Lyndon berkata, pemerhatian terhadap tingkah laku pekerja termasuk aktiviti di media sosial boleh membantu HR mengenal pasti pola tertentu yang tidak selari dengan alasan kesihatan.

Menurutnya, perkongsian gambar, video atau status aktif sepanjang tempoh MC memberi gambaran awal kepada HR untuk mengenal pasti pola tingkah laku yang tidak selari dengan MC yang diberi.

“Terdapat kes di mana pekerja dilihat aktif memuat naik gambar atau video melakukan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh cuti sakit, sekali gus menjadi petunjuk awal kepada HR.

“Selain itu, analisis data kehadiran juga penting bagi mengenal pasti pola tertentu seperti MC yang kerap diambil pada hari yang bersambung dengan cuti umum atau hujung minggu panjang.

“Jika cuti umum jatuh pada hari Khamis, kebiasaannya MC akan diambil pada hari Jumaat atau Isnin. Ini antara pola yang sering diperhatikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, lebih empat juta daripada keseluruhan 17.49 juta pekerja di negara ini pernah berpura-pura sakit dengan membeli MC.

Kajian oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendapati, 26 peratus pekerja mengaku pernah berpura-pura sakit untuk mendapatkan MC manakala 57 peratus majikan pula pernah berdepan dengan situasi pekerja mengambil MC tanpa sebab munasabah.

Tambah Novel, perbandingan rekod MC antara pekerja dalam jabatan yang sama turut dilakukan bagi mengenal pasti individu yang mempunyai rekod MC paling tinggi.

Katanya, tindakan tersebut dapat membantu pihak HR untuk menumpukan pemerhatian terhadap pola rekod MC yang mencurigakan.

“Petunjuk utama yang digunakan untuk mengenal pasti MC meragukan termasuk penggunaan klinik atau doktor yang sama secara berulang kali, format sijil tanpa cop rasmi, tandatangan doktor yang tidak konsisten, serta sijil dikeluarkan tanpa pendaftaran doktor dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC),” katanya.

Sementara itu, pakar bidang yang sama dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Zumrah berkata, pihak HR juga boleh mengenal pasti pola penyalahgunaan MC melalui kekerapan pekerja mendapatkan cuti sakit daripada klinik yang bukan panel syarikat.

Katanya, sekiranya pekerja kerap mendapatkan MC daripada klinik yang sama atau klinik yang bukan panel syarikat, ia boleh menjadi indikator yang perlu diberi perhatian.

“Malah, lokasi klinik yang jauh dari tempat tinggal pekerja juga antara perkara yang boleh dianalisis.

“HR juga akan meneliti klinik yang kerap mengeluarkan sijil MC dan sekiranya terdapat pekerja yang sering mendapatkan MC dari klinik yang sama iaitu bukan klinik panel, ia boleh menimbulkan keraguan dan menandakan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan cuti sakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN