Lima termasuk suami isteri mengaku salah guna MC palsu

Lima termasuk suami isteri mengaku salah guna MC palsu

T.D VASUDEVAN (kanan) dan D. Carolina (kiri) didakwa atas pertuduhan menggunakan MC palsu dari Hospital Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Lima individu termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu dari Hospital Pulau Pinang (HPP), empat tahun lalu.

Pasangan suami isteri tersebut iaitu T.D Vasudevan,28, dan D. Carolina, 28, bersama-sama G. Mukuntan, 28; M. Harrvinthan, 27 dan R. Gobinath, 43 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang diketahui adalah satu dokumen palsu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi sekitar Georgetown dan Bayan Lepas antara Januari sehingga Oktober 2020.

Atas kesalahan itu, kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.

SELAIN pasangan suami isteri, tiga lagi tertuduh turut didakwa atas pertuduhan menggunakan MC palsu dari Hospital Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Terdahulu, kelima-lima tertuduh dalam rayuan masing-masing memohon mahkamah untuk memberikan hukuman minimum susulan tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara keluarga serta ibu bapa yang uzur.

Afiqa Liyana bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan supaya ia dapat dijadikan pengajaran buat pesalah.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda RM1,500 dan satu hari penjara bagi setiap tertuduh selain memerintahkan agar tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu. 

Kesemua tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN