KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara kerana ia berpotensi sebagai eksploitasi suara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini tiada laporan diterima berkaitan kes menerima panggilan kosong, dirakam suaranya dan suara itu dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menipu kenalan mereka.
“Bagaimanapun, JSJK menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara, kerana ia berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
“Orang ramai digalakkan untuk tidak menyebut maklumat peribadi ketika menerima panggilan mencurigakan serta membuat pengesahan dengan talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan,” katanya.
Katanya, sebarang panggilan atau mesej meragukan hendaklah segera dihentikan dan dilaporkan kepada polis,” katanya. – UTUSAN










