BEIRUT: Tentera Israel menghantar lebih ramai askar ke selatan Lubnan meskipun kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap pengeboman maut dan usaha rejim Zionis memperluaskan pencerobohan ke wilayah negara itu.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Khamis, tentera Israel memaklumkan pasukan dari Divisyen 162 akan dikerahkan ke selatan Lubnan ‘dengan tujuan memperluaskan’ zon penampan di kawasan berkenaan.
Ia dijangka menyertai dua lagi divisyen tentera yang sudah beroperasi di selatan Lubnan, menurut kenyataan pasukan itu.
Kerahan tentera tambahan itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan rancangan tentera untuk mewujudkan ‘zon penampan lebih besar’ di selatan Lubnan bagi menangkis ancaman roket daripada kumpulan Hizbollah.
Israel meningkatkan serangan ke atas jiran utaranya pada awal Mac, selepas Hizbollah melancarkan roket ke wilayah Israel susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada 28 Februari dalam perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Teheran.
Tentera Israel melakukan serangan udara dan darat di seluruh Lubnan, sambil mengeluarkan arahan pemindahan paksa secara besar-besaran terhadap penduduk selatan negara itu serta beberapa kawasan pinggir Beirut.
Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 1,116 orang dan mencederakan 3,229 yang lain, menurut data Kementerian Kesihatan Lubnan.
Beberapa negara asing menyeru agar ketegangan dikurangkan dengan Perancis, United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Kanada minggu lalu memberi amaran serangan darat Israel akan membawa kesan kemanusiaan dahsyat serta patut dielakkan.
Namun, tentera Israel tidak mempedulikan kebimbangan tersebut, malah terus memperluaskan operasinya ke dalam wilayah Lubnan, dengan Menteri Pertahanan, Israel Katz melarang penduduk kembali ke rumah mereka di selatan sehingga keselamatan utara Israel terjamin.
Kelmarin, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, memberi amaran terhadap usaha Israel untuk memperluas pencerobohan darat dalam satu panggilan telefon dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Menurut kenyataan rasmi mengenai perbincangan itu, pejabat Perdana Menteri memaklumkan Salam memberitahu Guterres tindakan dan kenyataan Israel ‘amat serius kerana mengancam kedaulatan negara’ serta melanggar undang-undang antarabangsa termasuk peraturan PBB.
Salam turut berkata, kerajaan beliau akan mengemukakan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi mendesak badan dunia itu ‘menjalankan tanggungjawabnya untuk menghentikan pencerobohan’. – AGENSI










