Lelaki ugut penguatkuasa DBKL didenda RM6,000

Lelaki ugut penguatkuasa DBKL didenda RM6,000

MUSTAFA Sulaiman ketika berdepan pertuduhan menghasut dan mengugut seorang anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mac lalu. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Bagaikan menambah minyak dalam api.’

Itu perumpamaan digunakan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan sebelum menjatuhkan hukuman denda RM6,000 kepada seorang peniaga baju yang mengaku bersalah menghasut dan mengugut seorang anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan insiden membabitkan Abang Belon, Mac lalu.

Tertuduh, Mustafa Sulaiman, 57, mengangguk dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

“Mahkamah berharap hukuman ini akan memberi pengajaran kepada tertuduh. Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM2,000 dan dua bulan penjara jika gagal bayar denda manakala bagi kesalahan kedua, denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda,”ujar majistret berkenaan. 

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja membuat kenyataan dengan niat hendak menghasut orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadap Mohammad Shahli Zaini Mohd. Zulkepli, 32.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mustafa didakwa dengan sengaja menakutkan Mohammad Shahli Zaini melalui kenyataan yang dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Penguatkuasaan DBKL, Jalan Yaacob Latif Bandar Tun Razak,Cheras di sini, pada pukul 10.30 pagi, 7 April lalu. 

Dalam prosiding hari ini, peguam bela, Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy yang mewakili Mustafa merayu hukuman denda yang minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga yang menjaga lima orang anak, isteri dan ibu bapa mertua.

“Kenyataan dari tertuduh tidak mengganggu ketenteraman awam dan ia hanya dihantar dalam group WhatsApp iaitu bukan satu tempat terbuka. 

“Namun, kenyataan itu telah disebarkan oleh pihak ketiga iaitu ahli politik dan lain-lain. Sehingga hari ini, tiada sebarang ancaman yang diterima oleh pihak DBKL daripada kenyataan tertuduh. Anak guam saya juga kini merasa takut akan keselamatan dirinya selepas mesej itu ditularkan,” kata peguam itu. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa memohon agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh kerana telah mengancam tugas seorang penjawat awam. 

“Tangkap layar WhatsApp tersebut merupakan ancaman, hasutan dan berbau ugutan dengan niat terhadap penguatkuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.

“Tertuduh juga berniat jahat untuk menjejaskan reputasi dan imej Datuk Bandar serta menghasut untuk mendatangkan kecederaan kepada penguatkuasa DBKL,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN