JOHOR BAHRU: Dakwaan mengatakan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menjadi lubuk rasuah disifatkan sebagai tidak wajar dan boleh meruntuhkan integriti institusi pendidikan itu sendiri.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, ini kerana kes rasuah membabitkan IPT merupakan kes terpencil sahaja.
Katanya, melabel IPT sebagai lubuk rasuah sedangkan kes yang berlaku sedikit akan memberi imej buruk kepada IPT secara keseluruhan yang telah melahirkan ribuan graduan yang berjasa kepada negara.
“Bagi saya, ini satu tuduhan yang jahat. IPT adalah pusat pengajian untuk melahirkan manusia yang mempunyai adab, jati diri dan integriti yang tinggi. Mungkin ada satu dua kes (rasuah), tapi itu terpencil sahaja.
“Kita tidak boleh hanya disebabkan kerosakan dilakukan satu peratus, kita letak label yang terlalu negatif. Ini tak adil bagi sesebuah organisasi pendidikan yang mempunyai sejarah gemilang berpuluh tahun dibina,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Makmal Satelit Bersama UTM dan University of Canterbury di Fakulti Komputeran UTM, di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Laporan itu mendakwa perbuatan tersebut bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan, malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu.
Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026. – UTUSAN










