Lebih 15 tahun sengsara bau tapak pelupusan sampah

Derita 15 tahun hidu bau sampah

PENDUDUK Kampung Desa Makmur mengadakan perhimpunan aman mendesak penutupan tapak pelupusan sampah di Batu Empat, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bau busuk yang menyelubungi kehidupan seharian selama lebih 15 tahun mendorong kira-kira 50 penduduk Kampung Desa Makmur berhimpun bagi mendesak penutupan segera tapak pelupusan sampah di Batu Empat, di sini.

Menurut seorang penduduk, Hassan Sani Redzuan, 44, pencemaran bau yang berpunca dari tapak tersebut bukan lagi perkara baharu, malah kini semakin teruk hingga menjejaskan kesihatan keluarganya.

“Ekoran bau busuk sampah setiap hari, saya dan tiga anak, mengalami masalah hidung tersumbat, tidak boleh menghidu. Yang tinggal berdekatan tapak pelupusan lagi teruk. Lebih menyedihkan, tetamu pun tak datang ke rumah.

“Sampai bila kami nak ber­depan masalah ini? Ada penduduk buat rumah, tetapi tidak duduk sebab masalah bau busuk,” katanya ditemui selepas menyertai perhimpunan aman itu semalam.

Suhaillah Banian, 46, pula mendakwa, setiap pagi banyak lori sampah menunggu di kiri kanan jalan, menunggu giliran untuk masuk ke tapak pelupusan berkenaan dan keadaan itu boleh mengundang risiko kepada pengguna lain.

“Jalan itu laluan masuk ke kampung. Bila ada lori-lori sampah parkir di kiri kanan jalan, kenderaan penduduk tidak boleh masuk ke Kampung Desa Makmur.

“Kiri kanan jalan juga penuh sampah. Kadang-kadang mereka lalu di sini nak buang sampah, lori pun tak ditutup menyebabkan sampah ber­taburan. Selain itu, kami juga berdepan masalah pemandu lori tidak berhemah,” katanya.

Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Semangar, Juffri Juraimee berkata, pihaknya telah mengumpulkan tandatangan penduduk dan akan menghantar memorandum bantahan tentang tapak pelupusan sampah itu kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dakwanya, tapak pelupusan itu yang kedudukan hanya kira-kira 300 meter dari Kampung Desa Makmur dan 200 meter dari Kampung Sungai Pelepah tidak pernah diluluskan atau diwartakan sebagai tapak pelupusan sampah oleh kerajaan negeri.

“Aduan demi aduan telah dikemukakan, namun masih tiada sebarang tindakan diambil. Pihak wakil rakyat juga telah membawakan perkara ini, namun tiada ada-apa tindakan. Bahkan masalah bau ini juga turut menjejaskan penduduk kampung berdekatan seperti Kampung Lukut dan Taman Kota Jaya.

“Kami sebagai penduduk Kampung Desa Makmur membantah sekeras-kerasnya tapak ini dijadikan tapak pelupusan sampah dan meminta pihak kerajaan mengalihkan ke tempat lain yang sesuai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN