KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur berdepan dengan krisis apabila lebih 2,000 tan metrik sisa pepejal di kumpul di ibu negara setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu juga turut melibatkan kos pengurusan dan pembersihan awam mencecah RM260 juta setahun.
“Ini bukan isu kecil. Angka ini menunjukkan skala sebenar masalah yang kita hadapi.
“Justeru, kita tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan sementara. Ia memerlukan satu perubahan struktur yang lebih reformatif dan menyeluruh,” katanya, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 di Menara DBKL 1, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihak DBKL perlu mempertimbangkan pengenalan zon sifar sisa di kawasan-kawasan tumpuan, mewujudkan pensijilan komuniti hijau, serta meneliti kemungkinan pemberian insentif fiskal kepada premis perniagaan dan industri yang mengamalkan pemulihan sisa secara serius.
“Inisiatif seperti ini akan memberi isyarat jelas bahawa kita serius untuk berubah. Pelan ini perlu bergerak dalam satu kerangka akauntabiliti yang jelas.
“Kita perlu tahu apa yang mahu dicapai pada 2026, 2030 dan akhirnya pada 2040. What will be our end game or result,” katanya.
Katanya, beban pengurusan sisa tidak boleh terus diletakkan kepada DBKL sahaja, sebaliknya perlu dipacu secara bersama oleh kerajaan, sektor swasta, komuniti dan institusi pendidikan menerusi pendekatan whole of government dan whole of society.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, pelan bertemakan ‘20:40 by 2040’ itu menyasarkan pengurangan 20 peratus sisa organik dan 40 peratus sisa bukan organik menjelang 2040, sekali gus mengalihkan 60 peratus sisa daripada dihantar ke tapak pelupusan.
Katanya, pelan ini digerakkan melalui empat tonggak utama melibatkan dasar dan tadbir urus, penguatkuasaan, pembangunan infrastruktur serta kerjasama rentas sektor.
“Antara inisiatif awal yang dilaksanakan termasuk rawatan sisa makanan menggunakan larva Black Soldier Fly serta penggunaan bahan kitar semula dalam pembinaan jalan dan laluan pejalan kaki melalui kerjasama dengan ThinkCity, Reenergy Sdn. Bhd. dan EcoCycle Dynamic Solutions Sdn. Bhd.
“Pelan ini turut menyokong nilai Malaysia MADANI, mendukung Pelan Hala Tuju CHASE City serta selaras dengan agenda UN-Habitat dalam menjadikan bandar-bandar lebih mampan dan sifar sisa,” katanya
Menurut Maimunah, pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa pepejal, malah menyokong matlamat pembangunan rendah karbon dan kelestarian bandar raya. – UTUSAN