Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara kekalkan tradisi dan kesetiaan - Utusan Malaysia

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara kekalkan tradisi dan kesetiaan

ISTIADAT Pertukaran Pengawal Istana Negara hari ini menampilkan pasukan daripada Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda diiringi Pancaragam Pusat RAMD serta 25 anggota Brass Band 1 RAMD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara terus mengekalkan tradisi ketenteraan yang menjadi identiti Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan berlangsung di Dataran Pintu Masuk Utama Istana Negara di sini, hari ini.

Istiadat bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari pekarangan istana, sebelum mengambil kedudukan di hadapan pintu utama.

Pada pukul 8.45 pagi, anggota pengawal baharu pula memasuki kawasan istiadat dengan mengambil formasi berhadapan pasukan lama, sebelum upacara rasmi dimulakan pukul 9.30 pagi.

Istiadat melibatkan pasukan daripada Batalion Pertama RAMD serta Skuadron Istiadat Berkuda diiringi Pancaragam Pusat RAMD dan 25 anggota Brass Band 1 RAMD dengan keseluruhan sembilan pegawai dan 164 anggota lain-lain pangkat.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, tradisi itu bermula di Istana Negara lama sebelum dipindahkan ke lokasi baharu selepas kemerdekaan manakala penyertaan Skuadron Istiadat Berkuda hanya diperkenankan pada 2015.

“Tradisi ini menunjukkan komitmen RAMD dan Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan ia lambang kesetiaan kita kepada raja dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Istiadat Pertukaran Pengawal mula dilaksanakan pada 1959 dan pada 1994 ia diperkenankan untuk ditonton orang awam di Istana Negara, Jalan Istana.

Ratusan pengunjung dan pelancong mula memenuhi kawasan dataran pintu masuk utama Istana Negara seawal pukul 7 pagi bagi menyaksikan detik penuh protokol itu.

Sementara itu, isteri kepada anggota pengawal baharu, Nur Mira Rahila Rahim, 29, berkongsi perasaan teruja pertama kali menyaksikan istiadat tersebut.

“Ini pertama kali saya menyaksikan sendiri istiadat seperti ini dan saya berasa bangga sebagai isteri.

“Saya berharap suami saya terus komited dengan tugasnya di Istana Negara dan insya-Allah saya sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pengawal di sini,” katanya.

Turut hadir Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar serta pegawai-pegawai kanan Tentera Darat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN