Penduduk mula pindah barang, sedia hadapi banjir

Penduduk mula pindah barang, sedia hadapi banjir

RAMLI Mohd. Akib memindahkan barangan ke bahagian atas rumah sebagai persiapan menghadapi banjir di Kampung Air Taling Dangi, Johol, Kuala Pilah. - MINGGUAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Menjelang mu­sim tengkujuh, penduduk di Kampung Air Taling, Dangi, Johol mula mengambil langkah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir yang kerap melanda kawasan itu.

Persiapan itu termasuklah mengemas rumah, menaikkan barangan ke tempat lebih tinggi serta menyimpan dokumen penting agar tidak musnah jika air naik secara tiba-tiba.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Amir Mohd. Talib, 63, berkata pemantauan paras Sungai Jelai dilakukan secara berterusan terutama ketika hujan lebat.

“Kami dimaklumkan membuat persiapan awal kerana kampung ini hotspot banjir dengan setiap kali hujan, ahli jawatankuasa dan pihak berkuasa akan memantau paras air dan maklumkan segera kepada penduduk jika ia melepasi tahap berjaga-jaga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Amir berkata, banjir besar tahun lalu yang menjejaskan 17 rumah menjadi pengajaran besar kepada penduduk untuk tidak mengambil mudah amaran cuaca dan perlu bertindak awal sebelum keadaan menjadi kritikal.

“Taklimat pengurusan banjir dan simulasi perpindahan ke PPS telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Penduduk sekarang lebih bersedia,” katanya.

Penduduk, Ramli Mohd. Akib, 73, berkata pengalaman banjir tahun lalu cukup pahit apabila dia sekeluarga langsung tidak sempat selamatkan barang kerana air naik terlalu cepat.

“Saya kira itulah banjir pa­ling teruk sejak 1969. Air naik sampai enam kaki, hampir ke lantai tingkat atas. Pengalaman itu menjadi pengajaran dan kali ini kami mengalihkan barang penting lebih awal termasuk peralatan elektrik,” katanya.

Beliau sudah menaikkan peti ais, bantal, tilam dan barangan lain dengan harapan kawasan itu tidak lagi dilanda banjir besar yang memberi kerugian besar kepada penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN