Pekerja sedia tambah caruman KWSP

Pekerja sedia tambah caruman KWSP

Laporan Utusan Malaysia, 20 November 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan pekerja, terutama generasi muda bersedia membuat caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan simpanan persaraan masing-masing.

Rata-rata golongan pekerja bersetuju, prestasi pelaburan KWSP yang baik hingga mampu memberi pulangan dividen yang tinggi sewajarnya dimanfaatkan dengan meningkatkan caruman secara sukarela.

Bagi kebanyakan pekerja muda pula, menambah simpanan persaraan melalui KWSP penting dan wajar digalakkan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ramai pekerja muda melihat langkah menambah caruman sebagai strategi kewangan paling selamat untuk menggandakan simpanan persaraan, memandangkan KWSP terbukti stabil meskipun ekonomi berdepan ketidaktentuan.

Pelaburan KWSP dalam projek strategik dilihat mampu menjana pulangan optimum kepada pencarum melalui dividen tahunan.

Peniaga, Ahmad Faizal Shaharudin, 33, berkata, prestasi konsisten memberi keyakinan kepada pekerja muda menambah simpanan secara sukarela bagi mendapatkan faedah jangka panjang.

“KWSP buat pelaburan yang kukuh dan pulangannya tinggi. Kalau kita tambah caruman walaupun sedikit, kesannya sangat besar bila dividen naik setiap tahun. Cuma disiplin perlu ada, terutama bagi pendapatan tak menentu seperti saya,” katanya.

Pandangan sama dikongsi pembantu peribadi pengurus bank, Muhammad Sufian Bohari, 35, yang menyifatkan ia sebagai instrumen pelaburan paling selamat dan berdaya tahan berbanding pilihan pasaran lain.

“Rekod pelaburan KWSP sangat kukuh. Mereka mampu berikan dividen tinggi secara konsisten­ walaupun ekonomi turun naik. Bila dividen meningkat, yang untung langsung ialah pencarum yang buat tambahan,” katanya.

Pekerja insurans, T. Yuvarajah, 30, pula berpendapat, keupayaan KWSP mengurus dana dengan memanfaatkan pelaburan strategik meyakinkan pekerja muda seprtinya untuk meningkatkan caruman.

“Kita semua nampak KWSP melabur dalam projek yang beri pulangan jangka panjang. Bila keuntungan bertambah, dividen naik dan kita yang dapat rasai secara langsung. Jadi menambah caruman adalah langkah bijak kerana KWSP memang platform paling selamat berbanding pelaburan lain,” katanya.

Seorang pegawai perbankan, Daiyana Danisyah Azmi, 25, turut menyokong cadangan jangka panjang itu, apatah lagi pulangan dividen tahun ini dilihat positif selari dengan peningkatan pendapatan KWSP yang mencecah RM64 bilion setakat sembilan bulan tahun ini.

Bagaimanapun, seorang barista, Annira Norsyakilla Abu, 24, berkata, pendapatan bulanan yang tidak seiring dengan kos sara hidup menyukarkannya untuk menambah caruman secara konsisten.

“Secara teori memang bagus sebab simpanan akan cepat berkembang. Tapi dengan pendapatan saya sekarang, poto­ngan tambahan itu sukar dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN