PARIT BUNTAR: Konflik bersenjata antara Pakistan dan India, dua negara pengeksport beras utama boleh mencetuskan krisis bekalan makan ruji itu di Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kedua-dua negara itu menyumbang kira-kira 38 peratus import yang merangkumi beras putih dan basmati.
“Boleh (import terjejas), kalau pergolakan itu menyebabkan terjejasnya pelabuhan dan jentera mesin di negara mereka. Saya yakin kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang dan kita kena berusaha,” katanya.
Beliau mengulas mengenai risiko akibat ketegangan yang tercetus antara Pakistan dan India susulan insiden serangan berdarah di wilayah Kashmir baru-baru ini sehingga meragut nyawa.
Mohamad berkata, Malaysia sedia berunding dengan Vietnam, Thailand dan Kemboja untuk meningkatkan lagi import beras terutama Kemboja yang mempunyai lebihan beras.
Mengikut laporan pada Oktober lalu, negara Thailand, Vietnam, Pakistan, Kemboja, India, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Sepanyol merupakan sumber import beras ke Malaysia.
Mohamad ditemui pada perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini semalam, Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sementara itu, dalam ucapanya, Mohamad berkata, pusat pengeluaran itu mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg benih padi yang akan memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di negeri Perak.
“Kini kadar penggunaan beras yang bertambah bermaksud pengeluaran padi perlu ditingkatkan dengan keperluan penggunaan benih padi sah.
“Ia bermaksud kita perlu capai sekurang-kurangnya 71 peratus pengeluaran beras berbanding sekarang hanya 56 peratus dengan faktor cuaca yang menyebabkan kekurangan hasil,” katanya.
Pusat berkenaan dilengkapi mesin dan teknologi terkini bagi memastikan kualiti benih padi yang disediakan memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan kerajaan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. – UTUSAN