MUMBAI: Belum sampai dua minggu selepas perasmian sebatang jalan raya berirama pertama di India yang direka untuk memainkan lagu popular apabila kenderaan melaluinya, penduduk tempatan mula tidak menyenanginya.
Penduduk mendakwa laluan di Mumbai yang direka untuk memainkan lagu ‘Jai Ho’ daripada filem pemenang Oscar, Slumdog Millionaire kini mengganggu kehidupan harian mereka.
Laluan sepanjang 500 meter itu dirasmikan pada 11 Februari lalu oleh Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis,sebagai percubaan sulung India dalam teknologi jalan berirama.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan mewah Breach Candy yang menjadi kediaman selebriti, tokoh korporat dan golongan elit menyifatkan bunyi tersebut sebagai gangguan yang berterusan. Apa yang pada mulanya dianggap sebagai ciri unik dan sementara, kini bertukar menjadi ancaman.
“Bunyinya sangat mengganggu,” kata seorang penduduk, Kavita Chawla.
“Kami langsung tidak memerlukannya. Banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan. Mengapa mereka membazir wang untuk projek ini? Sekurang-kurangnya fikirkanlah nasib penduduk, terutama kanak-kanak yang sedang menghadapi peperiksaan, mereka tidak boleh belajar dalam keadaan bising,” tambahnya.
Lebih 650 keluarga telah memfailkan aduan kepada pihak berkuasa perbandaran, dengan menyatakan pengulangan lagu yang sama tanpa henti itu telah menceroboh privasi mereka.
Jurutera mengukir alur khas pada permukaan asfalt supaya getaran daripada kenderaan yang melaluinya menghasilkan melodi, sehingga mengubah jalan raya tersebut menjadi sebuah instrumen muzik.
Pemanduan pada kelajuan 70 hingga 80 kilometer sejam (km/j) akan menghasilkan nada yang jelas.
Kelajuan yang terlalu tinggi akan merosakkan bunyi tersebut, secara tidak langsung menggalakkan pemandu untuk memperlahankan kenderaan.
Pihak berkuasa menyifatkan projek tersebut sebagai gabungan inovasi, hiburan dan keselamatan jalan raya.
Papan tanda di sepanjang laluan memberi panduan kepada pemandu cara untuk ‘merasai’ pengalaman tersebut. – AGENSI











