Keterangan Jovian diambil bulan depan - Azam Baki

Keterangan Jovian diambil bulan depan – Azam Baki

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie akan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan depan.

Keterangan itu diambil bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Difahamkan proses mengambil keterangan itu akan dijalankan di satu lokasi di Jakarta, Indonesia, di mana pereka fesyen terkenal itu kini menetap.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya telah menghubungi Jovian berhubung perkara ini.

“Ya, pegawai saya sudah dapat menghubungi beliau (Jovian).

“Dijangka kami akan mengambil keterangan Jovian dalam beberapa hari selepas Hari Raya Haji,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Minggu lalu, Azam memaklumkan Jovian merupakan saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini untuk mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.

Setakat ini, SPRM masih dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak di mana bekas pemimpin nombor satu negara itu telah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN