Ekonomi Malaysia kekal utuh hadapi cabaran global

Ekonomi Malaysia kekal utuh hadapi cabaran global

LOGO Bank Negara Malaysia-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk mengharungi persekitaran ekonomi global yang mencabar, namun perlu bertindak pantas dalam melaksanakan reformasi struktur bagi memanfaatkan perubahan landskap dunia.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, kekuatan asas ekonomi domestik termasuk permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan kadar inflasi yang terkawal menjadi benteng utama negara dalam mendepani ketidaktentuan.

“Malaysia memasuki tempoh mencabar ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan ekonomi yang pelbagai, permintaan domestik yang stabil serta sistem kewangan yang teguh,” katanya semasa ucaptama Perbincangan Panel Ekonomi Malaysia sempena pelancaran Laporan Tahunan BNM di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, momentum pertumbuhan terus disokong oleh sektor penggunaan swasta dan pasaran buruh yang kekal kukuh dengan kadar pengangguran rendah.

Bagaimanapun, katanya, ketahanan jangka panjang bergantung kepada keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan pola perdagangan dunia yang kini lebih mengutamakan ketahanan rantaian bekalan berbanding kecekapan semata-mata.

“Kita perlu menilai semula strategi perdagangan dan pelaburan dengan mempergiat integrasi serantau, khususnya dalam ASEAN, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu,” katanya. 

Menyentuh mengenai risiko geopolitik, beliau mengakui konflik di Asia Barat memberi kesan langsung melalui peningkatan harga komoditi dan gangguan aliran perdagangan yang boleh menjejaskan eksport negara.

Walau bagaimanapun, BNM akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam dasar monetari, memandangkan kejutan inflasi semasa lebih bersifat gangguan bekalan yang mungkin hanya sementara.

“Tidak semua kejutan inflasi memerlukan tindak balas dasar monetari. Kita akan memantau faktor pemindahan kos kepada pengguna dan kesan pusingan kedua terhadap gaji sebelum menentukan hala tuju dasar,” tambah beliau.

Selain kestabilan harga, Marzunisham menekankan bahawa teras pertumbuhan mampan adalah peningkatan pendapatan rakyat. 

Beliau membangkitkan isu ‘pemampatan gaji’ yang perlu ditangani melalui pendekatan gaji sara hidup dan sistem penetapan gaji yang selari dengan produktiviti.

Beliau turut melihat perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sebagai ruang baharu untuk Malaysia meningkatkan daya saing global.

“Perubahan landskap ekonomi global ini bukan bersifat sementara. Malaysia perlu kekal tangkas dan responsif untuk menyesuaikan diri serta memanfaatkan setiap peluang yang muncul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×