PH sedia kerjasama dengan BN di Melaka

PH sedia kerjasama dengan BN di Melaka

ADAM ADLI ABD. HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Ha­rapan (PH) bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung tahun ini.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, perkara itu selaras kerjasama antara parti perpaduan di peringkat Persekutuan.

Namun katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan secara rasmi diadakan antara kedua-dua pihak.

“Perbincangan belum diadakan lagi namun tentu se­kali kita sudah menyatakan ke­se­diaan untuk melanjutkan perbincangan untuk menuju PRN Melaka.

“Kita perlu faham perbincangan perlulah membabitkan kedua-dua belah parti.

“Perkara utama yang perlu kita perhatikan adalah PRN Melaka ini akan menjadi me­dan untuk menilai semula pencapaian hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Katanya, menerusi kerja­sa­ma yang dijalinkan di pe­ringkat Persekutuan, ia telah berjaya menjamin kestabilan serta memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya lagi, kerjasama antara PH dan BN memboleh­kan pelbagai inisiatif pemba­ngunan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“PRN Melaka ini harus dilihat sebagai ruang untuk kita menilai apa yang telah dicapai melalui perpaduan dan kerjasama yang wujud selama ini, yang ternyata memberi ke­stabilan dan manfaat kepada rakyat.

“Kerjasama rapat antara Ke­rajaan Persekutuan dan nege­ri telah memperkukuh pelaksanaan dasar serta memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” katanya.

Sebagai rekod, BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Melaka 2021 apabila berjaya meraih 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN).

Kemenangan itu memboleh­kan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN