1 April bukan sekadar nombor dalam kalendar dasar negara tetapi menjadi titik perubahan yang bakal menguji ketahanan ekonomi rakyat dan keupayaan perniagaan Malaysia untuk kekal kompetitif.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengurangan subsidi minyak membuka lembaran baharu dalam pengurusan fiskal negara, namun pada masa sama mencetuskan kebimbangan terhadap kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan seharian serta landskap perniagaan antarabangsa.
Secara asasnya, rasional pengurangan subsidi ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan yang semakin meningkat.
Subsidi bahan api selama ini menelan belanja berbilion ringgit setahun, dan sering kali dikritik kerana ketirisan serta manfaatnya yang tidak bersasar.
Dalam konteks ini, langkah pengurangan subsidi dilihat sebagai usaha untuk memastikan sumber negara digunakan dengan lebih efisien, di samping memberi ruang kepada pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
KESAN LANGSUNG TERHADAP RAKYAT DAN KOS SARA HIDUP
Namun begitu, realiti di lapangan tidak semudah angka di atas kertas. Kesan paling ketara sudah tentu dirasai oleh rakyat, khususnya golongan B40 dan M40. Kenaikan harga bahan api akan memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, yang seterusnya mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan.
Peniaga kecil mungkin terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos operasi yang meningkat, manakala pengguna pula berdepan dengan pilihan yang semakin terhad dalam mengurus perbelanjaan harian.
Lebih membimbangkan ialah kesan inflasi tidak langsung. Apabila kos logistik meningkat sekali gus menyebabkan harga makanan, barangan keperluan asas dan perkhidmatan lain turut mengalami kenaikan.
Dalam jangka pendek, ini boleh menghakis kuasa beli rakyat dan menjejaskan kualiti hidup, terutama bagi mereka yang bergantung kepada pendapatan tetap.
Situasi ini juga berpotensi meningkatkan tekanan emosi dan sosial dalam kalangan isi rumah yang sudah pun berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Di luar konteks domestik, implikasi pengurangan subsidi minyak turut memberi kesan signifikan kepada perniagaan antarabangsa Malaysia.
Dalam dunia perdagangan global yang sangat kompetitif, kos merupakan faktor penentu utama. Peningkatan kos bahan api akan meningkatkan kos pengeluaran dan logistik, sekali gus menjejaskan harga akhir produk eksport Malaysia.
Bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terlibat dalam eksport, tekanan ini lebih dirasai.
Margin keuntungan yang sedia kecil akan semakin mengecil dan dalam sesetengah kes, mungkin tidak lagi berdaya saing berbanding pesaing serantau seperti Vietnam atau Indonesia yang menawarkan kos operasi lebih rendah.
Produk Malaysia, walaupun berkualiti tinggi, berisiko kehilangan daya tarikan dari segi harga di pasaran antarabangsa.
Selain itu, rantaian bekalan global juga tidak terlepas daripada kesan ini. Kos pengangkutan yang meningkat boleh menyebabkan kelewatan penghantaran atau peningkatan harga kontrak, yang akhirnya memberi kesan kepada hubungan dagang jangka panjang.
Dalam era globalisasi yang menuntut kecekapan dan ketepatan masa, menyebabkan sebarang gangguan dalam rantaian bekalan boleh memberi implikasi besar kepada reputasi dan kepercayaan terhadap syarikat Malaysia.
Namun, dalam menilai isu ini secara objektif, penting untuk melihatnya dari perspektif jangka panjang. Pengurangan subsidi, jika dilaksanakan dengan berkesan dan disertai dengan mekanisme bantuan bersasar yang telus, berpotensi memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Ini seterusnya boleh membuka ruang kepada pelaburan dalam sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang merupakan elemen penting untuk meningkatkan daya saing negara secara menyeluruh.
Persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana pelaksanaan dasar ini dapat memenuhi matlamat tersebut tanpa menekan rakyat secara berlebihan?

Keberkesanan subsidi bersasar, kecekapan sistem pengagihan bantuan serta tahap kesiapsiagaan rakyat dan perniagaan dalam menghadapi perubahan ini akan menjadi penentu kejayaan dasar ini.
Dalam masa sama, entiti perniagaan terutamanya PMKS perlu lebih proaktif dalam menyesuaikan strategi mereka. Ini termasuk meningkatkan kecekapan operasi, meneroka teknologi untuk mengurangkan kos serta mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu pasaran.
Sokongan daripada kerajaan dalam bentuk insentif, latihan dan akses kepada pasaran antarabangsa juga amat penting dalam membantu mereka menghadapi cabaran ini.
Akhirnya, pengurangan subsidi minyak bukan sekadar isu ekonomi tetapi juga ujian terhadap keseimbangan antara keperluan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam usaha memastikan kelangsungan ekonomi negara, persoalan yang lebih besar perlu dijawab, adakah beban yang ditanggung hari ini akan membawa kepada masa hadapan yang lebih mampan atau sekadar memindahkan tekanan daripada kerajaan kepada rakyat dan perniagaan?
Jawapannya bergantung kepada bagaimana dasar ini dilaksanakan, bukan hanya dari sudut angka tetapi juga dari sudut kemanusiaan dan keadilan sosial. –UTUSAN
DR. Norhaliza Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor.
DR. Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja, Batu Pahat, Johor.










