Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan akan lebih berprestij

Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan akan lebih berprestij

AMINUDDIN Harun menyampaikan hadiah kepada juara regu kategori terbuka Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025 di Nilai dekat Seremban malam tadi. UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan akan disusun lebih baik tahun depan bagi menjadikan ia sebagai pertandingan yang berprestij.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara tindakan menambah baik yang boleh dilaksanakan ialah meningkatkan jumlah hadiah dan menarik penyertaan pasukan antarabangsa.

Katanya, beliau berpuas hati dengan penganjuran kejohanan tahun ini sejak Khamis lalu yang menarik lebih 100 regu dengan tawaran hadiah antara RM1,000 hingga RM10,000.

“Kita boleh tambah baik daripada segi hadiah tersebut dan kita akan bincang dengan teliti pada penganjuran yang akan datang.

“Tahun ini saya serah sepenuhnya kepada pihak penganjur dan tahun depan kita akan uruskan dengan tersusun, lebih menarik dan lebih banyak regu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025 di Nilai dekat sini malam tadi.

Aminuddin menarik perhatian, usaha menambah baik kejohanan sepak takraw itu perlu dilakukan kerana ia adalah sukan yang menjadi sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia sekarang.

Sebanyak 120 regu bersaing dalam empat kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan.

Kejohanan itu yang berlangsung di N9 Arena Nilai menyaksikan sebanyak 26 pasukan bersaing untuk kategori kelab bertaraf kebangsaan, veteran (30), bawah 15 tahun (32) dan kategori bakat baharu (32). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN