Kad Ketibaan Digital Thai tidak selaras, mengelirukan

Kad Ketibaan Digital Thai tidak selaras, mengelirukan

Rakyat Malaysia, Hasmira Hashim, 41, bersama anaknya membuat semakan akhir pada TDAC yang diisi secara dalam talian tiga hari sebelum memulakan percutian ke Hatyai, Thailand. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penguatkuasaan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) bermula 1 Mei lalu menimbulkan pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan me­reka yang sering berulang alik dari Malaysia ke negara gajah putih itu.

Melalui pelaksanaannya, pe­lancong asing termasuk dari Malaysia diwajibkan mengisi TDAC menerusi portal rasmi dalam tempoh 72 jam atau tiga hari sebelum ketibaan.

Sistem itu juga bagi menggantikan borang ketibaan fizikal yang sebelum ini diisi secara manual.

Pelaksanaan TDAC mendapat reaksi pelbagai dengan ada yang positif mengatakan kaedah itu lebih memudahkan, namun tidak kurang juga yang menyifatkan ia sebagai mengelirukan.

Penduduk Kampung Kubang Tiga, Padang Besar, Chongkul Echang, 40, berkata, TDAC membantu dalam mempercepatkan proses imigresen, di samping meningkatkan ke­selamatan sempadan.

Katanya, setakat ini sistem itu tidak membebankan biarpun dia kerap keluar masuk ke Thailand bagi mengunjungi ahli keluarga di sana.

“Saya baharu sahaja pulang dari Thailand dan mendapati pemegang Pas Sempadan adalah dikecualikan daripada mengisi TDAC ini, jadi ia tidak menjejaskan atau menggangu rutin saya yang kerap keluar masuk ke sana.

“Bagaimanapun, saya difahamkan pelancong yang masuk ke Thailand menggunakan pasport diwajibkan untuk mengisi TDAC ini secara dalam talian bagi mengelakkan kesulitan semasa di imigresen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Ridwan, 39, berkata, dia berharap agar pihak berkuasa Thailand dapat menyelaraskan penggunaan TDAC di semua pintu masuk bagi mengelakkan kekeliruan.

Katanya, ini berikutan terdapat pintu masuk yang mengarahkan semua pelancong sama ada pemegang pasport mahupun Pas Sempadan mengisi TDAC secara dalam talian.

“Ada pintu sempadan yang didapati mewajibkan semua pelancong untuk mengisi TDAC, sedangkan dalam arahan dike­luarkan sebelum ini, pengecua­lian diberikan kepada peme­gang Pas Sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN