JPN tambah baik SOP penyiasatan

JPN tambah baik SOP penyiasatan

JABATAN PENDAFTARAN NEGARA (JPN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk menyemak semula dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan agar lebih efisien serta selari dengan prinsip tadbir urus yang baik.

JPN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan meningkatkan sistem penyimpanan dan pengurusan dokumen bagi mengelakkan sebarang kehilangan atau kecuaian.

Selain itu, JPN akan menetapkan garis masa yang munasabah untuk penyelesaian kes siasatan yang kompleks.

“JPN juga akan melatih semula dan memantapkan kompetensi pegawai penyiasat.

“Kita dalam masa yang sama akan meneliti tindakan tatatertib seperti dicadangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke atas pegawai yang didapati cuai atau gagal melaksanakan siasatan kes berkenaan,” katanya.

EAIC sebelum ini mendedahkan wujudnya isu kelewatan dan ketidakaturan dalam pengendalian kertas siasatan JPN dalam siasatan permohonan kad pengenalan.

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu memaklumkan, satu siasatan permohonan kad pengenalan dikendalikan JPN mengalami kelewatan serius sehingga mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.

Pendedahan itu susulan satu aduan yang diterima terhadap JPN berhubung isu tempoh masa siasatan yang diambil dalam kes membabitkan ketidakaturan permohonan kad pengenalan.

Dalam pada itu, JPN akan mengambil serius setiap teguran serta syor penambahbaikan yang diberikan termasuk aspek pengurusan kertas siasatan, penyimpanan dokumen penting, pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), serta pelaksanaan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN