SHAH ALAM: Dua warga Filipina antara 52 lelaki yang ditahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikesan menggunakan MyKad milik orang lain untuk bekerja dekat sebuah kilang dekat Bukit Kemuning, hari ini.
Salah seorang yang mahu dikenali sebagai Fahad, 26, berkata dia menggunakan dokumen pengenalan anak saudaranya yang berasal dari Sabah supaya dapat bekerja di premis berkenaan.
“Saya mahu mencari rezeki di sini. Tiga hari saya pujuk anak saudara untuk pinjam MyKadnya kerana mahu bekerja tanpa membayar apa-apa kepadanya.
“Saya tahu perbuatan itu salah, tetapi saya tiada pilihan, lagi pun baru seminggu saya bekerja di kilang itu,” katanya ketika ditemui.
Dalam Operasi (Ops) Metal oleh JPN kira-kira pukul 2.30 petang tadi, kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Filipina serta Indonesia yang berusia antara 25 hingga 60 tahun.
Seorang lagi warga dari negara sama, Sakib, 28, memberitahu dia membayar RM1,000 kepada seorang ejen yang diperkenalkan oleh rakannya bagi mendapatkan MyKad.
“Selepas menghubungi ejen tersebut, MyKad dihantar kepada saya menggunakan kurier dan saya gunakan untuk mendapatkan pekerjaan. Ini kali pertama saya gunakannya semata-mata mahu bekerja di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Sarinah Apisah berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada wujud elemen sindiket atau kerelaan oleh warga tempatan yang menyerahkan MyKad.
“Siasatan awal mendapati kebanyakan alasan mereka adalah guna MyKad orang lain kerana ejen yang bawa. Ada yang tak pegang MyKad dan ejen uruskan.
“Kita akan kesan pemilik kad pengenalan itu dan kesemua tangkapan dibawa ke JPN Putrajaya bagi siasatan mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” tegasnya. – UTUSAN










