BACHOK: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia mempertimbang cadangan supaya individu yang mempunyai dua kerakyatan tampil menyerahkan dokumen pengenalan diri itu secara sukarela tanpa dikenakan tindakan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada cadangan untuk berbuat demikian dan idea itu boleh dipertimbangkan.
Katanya, prosedur melucutkan kewarganegaraan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses yang ketat dan dipengerusikan oleh seorang hakim yang dilantik.
“Dalam keadaan tertentu, mereka yang memiliki dua kerakyatan boleh memilih untuk memegang mana-mana taraf, namun Malaysia tetap tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan dan kes ini tidak membabitkan sebarang tangkapan.
“Namun, jika ada aduan mengenai dua kerakyatan itu sah, individu yang terlibat boleh dilucutkan taraf warganegara,” katanya pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang menyaksikan penyerahan MyKad kepada seorang petani, Shaharuddin Basir, 58, yang sebelum ini hanya menggunakan sijil kelahirannya sebagai bukti kerakyatan di Kampung Keting, Gunong di sini, semalam.
Badrul Hisham mengakui terdapat segelintir penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan memiliki dua kewarganegaraan.
Katanya, meskipun Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud individu yang mengambil kesempatan terhadap kedudukan geografi yang hanya dipisahkan dengan Sungai Golok.
“JPN ambil maklum mengenai dakwaan rakyat kita yang tinggal di Thailand dan memegang kerakyatan negara itu, namun dalam rekod rasmi kita hanya menyimpan status kewarganegaraan Malaysia.
“Setakat ini, JPN tidak pernah berbincang dengan Kerajaan Thailand mengenai isu dua kewarganegaraan kerana ia melibatkan dasar negara masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN









