SEREMBAN: Sempena ulang tahun ke-15 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) utamanya, IJM Land Berhad menyerahkan dua kediaman baharu di bawah inisiatif MyHome.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, MyHome bukan sekadar program CSR tetapi platform menyumbang semula kepada masyarakat yang selama ini menyokong perjalanan syarikat.
“Kami percaya perubahan sebenar bermula dengan menyediakan rumah yang selamat dan terjamin kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, sejak bermula di Seremban 2, MyHome kini diperluaskan ke seluruh lokasi operasi IJM Land termasuk di Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor, Sabah dan Sarawak menerusi kerjasama erat dengan subkontraktor, pembekal dan komuniti tempatan.
“Impian kami adalah untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dapat memiliki rumah yang bukan sahaja selamat tetapi juga selesa,” ujarnya
Dilancarkan sejak tahun 2010, program MyHome bertujuan meningkatkan kualiti hidup golongan kurang berkemampuan melalui penyediaan kediaman yang selamat, selesa dan kondusif.
Ujar Kian Soon, setakat ini, seramai 23 keluarga di seluruh negara telah mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif selama 15 tahun ini.
“Tahun ini, salah satu penerima ialah Chan Ngan Chong, 61, Seremban. Kediaman lamanya sangat uzur. Dia tinggal bersama isteri dan dua anak dalam rumah satu bilik tidur, struktur kayu yang reput dimakan anai-anai, dapur tidak berfungsi serta risiko tinggi untuk runtuh.
“Keadaan kewangan keluarga turut terjejas, termasuk tunggakan bil elektrik melebihi RM4,000 yang turut diselesaikan oleh IJM Land.
“Rumah baharu yang dibina semula oleh IJM Land kini mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik air lengkap, dapur berfungsi dan dilengkapi kelengkapan asas seperti perabot dan peralatan elektrik,” katanya.
Kongsi Kian Soon lagi, di Sandakan pula, Wong See Kong, 82, turut menerima manfaat menerusi program ini.
“Kediaman lamanya yang dihuni bersama anak lelaki turut mengalami kerosakan teruk seperti bumbung bocor, pendawaian terdedah dan siling berkulat, selain tiada akses kepada air bersih.
“MyHome telah membaik pulih rumah ini secara menyeluruh, termasuk membina semula dapur, mengganti sistem pendawaian, membaiki siling, menyediakan sistem bekalan air bersih dan memasang pagar keselamatan,” kongsinya.-UTUSAN










