KOTA TINGGI: Tempoh hampir lapan tahun Barisan Nasional (BN) tidak menerajui pentadbiran kerajaan merupakan ruang bermuhasabah serta menilai semula kelemahan parti, sebelum tampil dengan tawaran baharu kepada rakyat.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh tersebut juga adalah untuk memperbaiki kekurangan serta memperkukuhkan hala tuju parti demi mengembalikan keyakinan rakyat.
Beliau turut mengakui BN bukan sebuah parti yang sempurna dan menerima iktibar dengan dihukum rakyat pada pilihan raya lalu.
“Kita pun sudah dah belajar daripada kesilapan lampau. BN tidak sempurna. Dulu kita kalah dan telahpun dah dihukum rakyat.
“Selepas hampir lapan tahun, ada ketika kita berada di luar kerajaan dan ada ketika bersama kerajaan tetapi bukan sebagai peneraju. Tempoh itu sebenarnya memberi ruang kepada kita untuk bermuhasabah dan melihat kembali kelemahan yang ada,” katanya ketika ditemui dalam majlis Santai Petang Bersama KJ di sini, semalam.

Khairy berkata, keputusan sama ada BN akan bertanding solo atau sebaliknya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang perlu bergantung kepada penilaian menyeluruh yang akan dibuat kepimpinan parti berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, Johor disifatkan sebagai ‘kes’ unik selepas BN membuat keputusan bertanding secara solo, sekali gus memberi ruang untuk menilai kekuatan serta kelemahan pendekatan berkenaan.
“Saya yakin kepimpinan BN akan membuat keputusan dari semasa ke semasa mengikut keadaan. Tetapi Johor adalah satu test case yang unik sebab kita dapat bertanding solo di sini.
“Selepas ini kita akan buat post-mortem (bedah siasat). Menang atau kalah, menang besar atau menang sikit, kita akan buat post-mortem apakah kelebihan apabila kita pergi solo, mungkin ada kelemahan kalau kita pergi solo,” ujarnya,
Menurut Khairy, pentadbiran tanpa gabungan membolehkan kerajaan membuat keputusan dengan cepat tanpa pertimbangan daripada parti lain, lantas memastikan pelaksanaan dasar dapat dipercepat demi kepentingan rakyat.
“Saya tidak ada masalah dengan gabungan tetapi apabila kita bergabung, proses membuat keputusan agak lambat. Biasalah apabila kita mempunyai rakan-rakan dalam kerajaan yang datang daripada parti berbeza,” jelasnya.-UTUSAN










