PETALING JAYA: Pengacara, Ubai MZ mendedahkan dia pernah menjadi mangsa fitnah melampau apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kononnya rumah tangganya bersama isteri yang juga penyanyi, Shila Amzah sudah berakhir.
Lebih mengecewakan, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli , 28, berkata,
fitnah tersebut disebarkan menerusi artikel di media sosial seminggu selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga.
“Paling teruk saya terkena adalah seminggu selepas berkahwin. Keluar tajuk mengatakan Shila Amzah sah bercerai, tapi menggunakan gambar kami berdua.
“Namun, apabila klik pada pautan tersebut, ia sebenarnya artikel lama. Malangnya, ramai yang terus mengecam di ruangan komen tanpa membaca isi kandungan terlebih dahulu.
“Ada yang kata ‘aku dah cakap budak Ubai ini bodoh’ dan ‘Shila degil’. Mereka langsung tidak tekan artikel itu,” katanya menerusi audio siarmiliknya, Ubai Sentral yang tular baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai reaksi awalnya, Ubai mengakui berasa sangat marah dan terdetik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memulakan fitnah tersebut.
Bagaimanapun, amarahnya itu berjaya ditenangkan oleh isterinya yang meminta agar dia bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan.
“Waktu itu memang ikut baran, rasa nak saman sahaja. Tapi isteri pujuk, dia kata tak apalah sayang, biarkan.
“Kata Shila, benda sebegini kalau terjadi, biarlah urusan mereka dengan Tuhan nanti. Biar mereka tahu betapa susahnya nak ‘pergi’ meninggal dunia nanti sebab ada fitnah yang belum diselesaikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ubai berkata sabarnya juga ada had sekali gus menitipkan amaran keras kepada netizen agar tidak melampaui batas sehingga menyentuh privasi ahli keluarganya.
Tegasnya, dia tidak akan teragak-agak untuk menghantar surat saman sekiranya ada pihak yang masih berdegil mencetuskan provokasi melibatkan isteri dan anaknya.
“Lantaklah nak tulis apa pun, cuma kalau satu masa mood saya tidak kena, jangan sesekali sentuh isteri dan anak saya. Tunggulah surat saman sampai,” katanya lagi.
Untuk rekod, Ubai dan Shila mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei lalu. -UTUSAN










