PETALING JAYA: Dua pelajar sekolah cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Persiaran Bangi Avenue dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 dan seorang lagi berusia 17 tahun menunggang Yamaha FZ150 mengalami kecederaan, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang pelajar 16 tahun itu melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah Perodua Myvi yang sedang bergerak terus.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan.
“Pada masa sama, motosikal Yamaha FZ150 yang ditunggang seorang lagi pelajar bersama pembonceng lelaki berusia 16 tahun dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar Honda EX5 yang jatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pembonceng Yamaha FZ150 hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu serta dua penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd. Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN










