Hina mahkamah: Keputusan komital Isham Jalil pada 1 Julai

Hina mahkamah: Keputusan komital Isham Jalil pada 1 Julai

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil atau Hizatul Isham Abdul Jalil berbual dengan peguamnya, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas tamat prosiding pendengaran permohonan komital terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 1 Julai ini untuk keputusan permohonan Peguam Negara agar bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Permohonan tersebut difailkan pada 28 Disember 2023 adalah susulan kenyataan Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil pada satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.

Rakaman temu bual itu menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial facebook The Malaya Post pada 30 September 2023.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam bagi pihak Peguam Negara dan peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham.

Terdahulu, Mohamad Mustafa ketika berhujah menyatakan Peguam Negara memohon agar Isham dipenjara atau didenda atau lain-lain perintah yang bersesuaian kerana kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO adalah melampau dan memperlekehkan sistem kehakiman.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh bukanlah satu komen yang adil ataupun bersifat kritis.

Sementara itu, Azhar ketika membuat hujahan balas menyatakan, isu yang ditimbulkan pada pendengaran permohonan komital adalah berbeza dengan isu dibangkitkan sewaktu permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah itu.

Perbezaan itu telah membuatkan anak guamnya dalam keadaan yang tidak pasti untuk mengemukakan pembelaan.

Menurut afidavit komital yang difailkan, Isham didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB. Satu laporan polis berhubung temu bual tersebut juga telah dibuat pada 6 Oktober 2023.

Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim yang mendengar telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.

Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.

Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan.

Selain memohon Isham dikenakan hukuman penjara atau denda, Peguam Negara turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN