PETALING JAYA: Cadangan pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bermatlamat memperkukuh prinsip kebebasan institusi selain memastikan ketelusan serta keadilan dalam sistem perundangan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, melalui cadangan terbabit Pendakwa Raya mempunyai kuasa dalam pendakwaan dan Peguam Negara pula berperanan menasihati kerajaan dalam perkara selain jenayah.
“Menerusi cadangan itu, pendakwa raya akan dilantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menurut budi bicaranya atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Dalam pelantikan pendakwa raya, kriteria utamanya ialah calon warganegara Malaysia dengan pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam litigasi dengan tempoh jawatannya pula tujuh tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama ketua editor, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Azalina berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Beliau berkata, sekiranya pelantikan pendakwa raya dibuat dalam kalangan pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan, individu terbabit perlu dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan sedia ada.
Kata beliau, satu akta saraan khusus dicadangkan digubal bagi memperincikan imbuhan dan kemudahan untuk kedua-dua jawatan iaitu Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jelasnya lagi, dari segi kedudukan Peguam Negara, terma dan syarat yang kurang baik daripada sebelum pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi dari segi kedudukan, Pendakwa Raya setara dengan Peguam Negara dari segi hierarki dan perkhidmatan dan penamatan pendakwa raya melalui tribunal khas,” katanya.
Bagi RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, Azalina berkata, tempoh perkhidmatan bagi jawatan itu akan dikira secara terkumpul sepanjang hayat perkhidmatan sama ada berturutan atau sebaliknya.
“Jadi, apabila Perdana Menteri terhenti memegang jawatan kerana sudah sampai tempoh agrerat, anggota Jemaah Menteri turut terhenti memegang jawatan,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh peralihan sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut Fasal 2(a) Perkara 43, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang terhenti memegang jawatan akan melaksanakan tugas terhad berkaitan pentadbiran harian kerajaan sahaja.
“Tempoh perkhidmatan semasa seseorang melaksanakan fungsi Perdana Menteri berikutan pembubaran Parlimen di bawah Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak diambil kira dalam tempoh perkhidmatan,” katanya.
Media melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju dengan cadangan pengasingan sepenuhnya di antara kedua-dua jawatan itu. – UTUSAN










