Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan lantik Pendakwa Raya

Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan lantik Pendakwa Raya

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara tidak akan dilantik dalam kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Ia berdasarkan Rang Undang-Undang (Pindaan) (No.2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, fungsi sebagai Ketua Perkhidmatan akan dijalankan oleh Peguam Cara Negara.

Beliau turut memaklumkan bacaan kali kedua RUU itu dijangka dilaksanakan pada persidangan Parlimen minggu hadapan.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan akan menjalankan fungsi tambahan termasuk pelantikan, representasi bagi pemecatan, serta syor penggantungan Pendakwa Raya di bawah Subfasal 4(a).

“Suruhanjaya ini juga hendaklah menjalankan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan. RUU ini turut meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan dan sebagainya,” katanya.

Dalam Perkara 42 Perlembagaan, Peguam Negara merupakan anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri dan bertanggungjawab mengemukakan pendapat bertulis kepada Lembaga tersebut. RUU berkenaan akan menyebabkan peranan ini diambil alih oleh Pendakwa Raya.

Fasal 6 RUU memperkenalkan dua perkara baharu, iaitu Perkara 145a dan Perkara 145b. Perkara 145a menetapkan peruntukan mengenai pelantikan, kelayakan, terma jawatan, saraan dan pemecatan Pendakwa Raya, manakala Perkara 145b menetapkan kuasa dan tugas Pendakwa Raya.

Fasal 5 meminda Perkara 145 Perlembagaan mengenai Peguam Negara dengan membolehkan Yang di-Pertuan Agong memilih anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Persekutuan sebagai Peguam Negara termasuk menetapkan persaraan atas alasan kepentingan negara, serta meniadakan kuasa pendakwaan Peguam Negara dan hak menentukan mahkamah bagi memulakan pendakwaan.

Selain itu, fasal itu memansuhkan Fasal (6) Perkara 145 kerana tidak lagi relevan. Fasal 3 meminda Perkara 132 Perlembagaan berhubung perkhidmatan awam supaya Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan.

Fasal 4 meminda Perkara 138 Perlembagaan berikutan fungsi tambahan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan susulan pengasingan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN