Harumanis membanggakan Perlis

Harumanis membanggakan Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyerahkan hadiah kepada salah seorang penerima pada Majlis Perasmian Festival Permai 2025 di Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa bangga de­ngan perkembangan industri mempelam harumanis di negeri ini yang kian pesat berkembang.

Baginda bertitah, sehingga kini, Perlis merekodkan lebih 2,600 pengusaha ­harumanis dengan keluasan tanaman men­cecah 1,745 hektar.

Titah baginda, pencapaian itu bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat malah turut memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik.

“Beta yakin usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasa sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan dan memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” titah ba­ginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Mango & Agricultural Industry (Permai) 2025 di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Kha­lil serta Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Festival Permai 2025 berlangsung tiga hari sehingga semalam, meriah dengan menarik keha­diran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara.

Festival anjuran kerajaan negeri iaitu gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis yang dijenamakan semula itu sarat dengan pelbagai pengisian program menarik dan unik.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut me­nyambut baik pelbagai inisiatif ­moden diperkenalkan termasuk pemo­denan sistem pengurusan ladang, penerapan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan langkah ke arah Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang menyumbang kepada pertanian mampan serta keselamatan makanan negara.

“Para petani, penternak dan usahawan tani kini wajar me­nguasai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi hari­an contohnya menggunakan pembelajaran mesin untuk pemantauan kesihatan tanaman, merumput automatik dan pe­nyem­buran pintar serta menggunakan jentera berkuasa AI seperti dron dan agribot bagi pengurusan efisien,” titah bagin­da.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan rakyat Perlis khususnya para petani agar me­ningkatkan usaha mempromosi produk-produk dan hasil pertanian mereka.

Titah baginda, langkah tersebut supaya produk berkenaan terus dikenali dan diiktiraf daripada segi kualiti serta keunikannya berbanding hasil pertanian di tempat lain.

“Beta berharap semua pihak iaitu petani, usahawan tani, agensi kerajaan dan swasta agar terus berganding bahu dalam memperkukuh ekosistem pertanian.

“Kerajaan negeri juga diharap terus memajukan sektor pertanian, di samping menyumbang kepada usaha Kerajaan Persekutuan dalam mencapai strategi berkaitan sekuriti makanan negara,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya