KUANTAN: Projek ladang solar yang digabungkan dengan aktiviti pertanian moden dicadang sebagai mekanisme pemulihan kawasan bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di sini bagi menjana pendapatan 671 peneroka terjejas.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, dianggarkan terdapat lebih 100 kawah besar sedalam antara satu hingga enam meter hasil aktiviti perlombongan sebelum ini yang boleh ditutup melalui pembangunan projek solar.
Katanya, kerajaan sepatutnya merangka pelan pemulihan tanah sebaik sahaja moratorium perlombongan bauksit dilaksanakan pada 2016 dan bukannya menunggu hampir sedekad sebelum usaha dimulakan.
“Sudah tentu projek solar tersebut akan menutup lubang atau kawah besar yang sejak sekian lama terbiar dan dibimbangi mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.
“Cumanya di pihak PEM, saya lebih suka tanah untuk pertanian supaya ia selari dengan konsep Felda itu sendiri atau gabungkan projek solar dan pertanian. Tanah masih digunakan peneroka.
“Sebagai contoh, pelaksanaan projek solar boleh diintegrasikan dengan pertanian seperti penanaman sayur dan penternakan ayam menggunakan teknologi moden bagi memanfaatkan tanah terbiar. Dengan cara ini, ia pasti dapat menjana pendapatan peneroka dan memberi nilai tambah kepada kawasan Felda Bukit Goh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, selepas sedekad menanti tanpa sebarang hasil, seramai 671 peneroka dan generasi kedua Felda Bukit Goh terus mengharapkan Ramadan kali ini membawa khabar gembira buat mereka sekeluarga.
Harapan mereka kini terarah kepada penyelesaian berhubung isu tanah seluas 2,428 hektar yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di tanah rancangan berkenaan.
Ahmad berkata, kegagalan melaksanakan pemulihan sewajarnya bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan peneroka malah memberi kesan buruk kepada ekologi setempat, khususnya apabila kawasan bekas perlombongan bauksit itu dibiarkan lebih 10 tahun begitu sahaja.
“Tempoh 10 tahun itu bukan singkat, tanah yang sepatutnya menjadi sumber rezeki buat peneroka terjejas kini hanya tinggal sebagai kawasan terbiar dan tidak produktif,” katanya.
Beliau menuntut perhatian serius pihak berkaitan untuk melaksanakan tiga langkah utama iaitu kajian pemulihan kawasan daripada segi kesesuaian untuk pertanian.
Katanya, kedua mencari teknologi sesuai bagi pertanian jangka pendek khususnya pengeluaran makanan dan ketiga melaksanakan projek tenaga solar sebagai alternatif menjana pendapatan.
Ahmad mengingatkan, isu Bukit Goh adalah simbol kegagalan pengurusan sumber alam dan aktiviti perlombongan yang rakus tanpa pelan jangka panjang yang akhirnya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat peneroka.
“10 tahun berlalu, bekas lombong bauksit ini sepatutnya sudah ada tindakan yang boleh menguntungkan penduduk dan alam sekitar yang melibatkan orang awam dan hidupan lain,” katanya.-UTUSAN.










