PATTANI (THAILAND): Hasrat seorang polis berpangkat sarjan mejar untuk pulang berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian selepas maut ditembak dalam serangan dipercayai didalangi kumpulan pemisah di Mukim Trobon, Daerah Saiburi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Sarjan Mejar Anuwat Totam, 43, yang juga Ketua Skuad Unit Operasi Khas Balai Polis Saiburi, ditembak di hadapan sebuah bengkel mengecat kereta.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya untuk berbuka puasa selepas menamatkan syif tugas pada pukul 4 petang.
“Bagaimanapun mangsa dipercayai singgah di bengkel berkenaan bagi berbincang cadangan untuk mengecat keretanya.
“Ketika sedang berbual dengan pemilik bengkel, seorang lelaki tiba-tiba muncul sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat yang mengenai kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Sumber berkata, mangsa kemudian rebah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, suspek melarikan sepucuk pistol 9 milimeter milik mangsa sebelum meloloskan diri.
“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa diekori sebelum serangan dilakukan berdasarkan maklumat awal dan modus operandi kejadian yang dilihat terancang.
“Polis kini melancarkan operasi memburu suspek dan memperketat kawalan keselamatan di sekitar Saiburi. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran turut diperiksa bagi membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN.











