KUALA TERENGGANU: Kain samping tenun asli Terengganu kekal menjadi pilihan ramai menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan permintaan meningkat saban tahun termasuk daripada golongan kenamaan, ahli perniagaan dan pembeli tetap.
Bagi anak jati Kampung Banggol Durian, Serada, Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 35, meskipun kini menetap di Kuala Lumpur, dia tetap komited memasarkan kain samping hasil tenunan tangan ibunya, Meriam Musa, 66.
Katanya, tempahan kain songket meningkat ketara setiap kali musim perayaan.
“Setiap kali menjelang raya, memang ramai yang mencari samping tenun. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada pelanggan bertanya dan membuat tempahan.
“Pembeli pula terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kenamaan, ahli perniagaan dan orang biasa kerana kami menawarkan pelbagai jenis songket sama ada sutera atau kapas, dengan pilihan harga berbeza. Namun semuanya adalah tenunan tangan asli Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Persiapan menghasilkan songket bagi musim perayaan memerlukan perancangan awal kerana proses menyiapkan sehelai kain mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.
Antara rekaan menjadi pilihan adalah motif floral jenis sutera kerana tampil eksklusif dan menyerlah apabila digayakan pada pagi Syawal.
“Songket sutera bercorak floral memang antara yang paling laris kerana nampak lebih eksklusif dan cantik. Namun, rekaan kapas juga tidak kurang permintaan kerana lebih mudah dipadankan dengan pelbagai jenis busana,” katanya.
Ada beberapa helai songket eksklusif tenun ikat jenis Cindai dijual pada harga antara RM12,000 hingga RM15,000 sehelai, lazimnya dibeli oleh ahli perniagaan.
Katanya pelanggan membuat pembelian lebih awal sebelum Ramadan bagi mengelak kehabisan stok memandangkan pengeluaran adalah terhad. – UTUSAN










