Beras diberi jiran jadi hidangan berbuka puasa enam beranak

Beras diberi jiran jadi hidangan berbuka puasa enam beranak

ROMAIZATU Othman (kanan) bersama tiga anaknya ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil, Setiu, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Hanya nasi goreng menjadi juadah berbuka puasa untuk mengalas perut enam beranak di Kampung Bukit Kecil, dekat Chalok di sini ekoran kesukaran hidup.

Romaizatu Othman, 43, berkata, berbekalkan bekalan beras diberikan jiran membolehkan dia dan keluarganya menikmati hidangan sedarhana itu di bulan Ramadan.

“Walaupun hidangan biasa, tetapi Alhamdulillah saya, suami dan anak-anak masih boleh berbuka puasa seperti orang lain dan kami tidak kelaparan.

“Suami bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan tidak tetap manakala saya pula tidak mampu lagi bekerja mahupun menguruskan diri selepas terkena serangan strok otak Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil.

Sekiranya mempunyai duit belanja lebih, mereka membeli telur untuk dijadikan lauk tambahan.

Penghidap diabetes kronik ini turut mengalami masalah separa buta pada mata sebelah kanan setelah terkena serangan strok otak.

Dia mendapatkan rawatan berkala di Hospital Setiu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu secara berkala yang mana ia memerlukan belanja untuk berulan-alik ke hospital.

“Saya kini bukan hanya tidak mampu menguruskan keluarga malah hanya mampu duduk atas tilam dan diuruskan sepenuhnya oleh anak-anak.

“Saya tidak boleh berjalan tanpa bantuan orang lain, malah sebahagian badan sebelah kanan hampir lumpuh. Saya hanya menunggu anak-anak pulang sekolah atau suami balik dari kerja untuk mandi atau menyediakan makan minum,” katanya.

Mata pencarian keluarga hanya tertumpu sepenuhnya kepada suaminya, Mohd. Nasiruddin Nazri, 40, dan dibantu anak perempuan sulungnya berusia 18 tahun yang mengambil upah berniaga di bazar Ramadan.

Romaizatu sekali lagi diuji apabila anak bongsunya, Nur Nasuhah Najwa, 4, mempunyai komplikasi jantung yang memerlukan rawatan daripada semasa ke semasa, manakala dua laki anak berusia 14 tahun dan 16 tahun masih bersekolah.

Ekoran kemiskinan dihadapi, mereka menumpang di rumah orang tua-tua milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut menerima bantuan bulanan berjumlah RM500.

Bagi ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke 0211341000092684 (Bank Simpanan Nasional). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×