Gabungan bintang popular hidupkan naskhah srikandi Melayu di pentas teater - Utusan Malaysia

Gabungan bintang popular hidupkan naskhah srikandi Melayu di pentas teater

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panggung Bangsawan Melaka bakal mempersembahkan tiga naskhah teater sejarah yang mengangkat tokoh wanita Melayu dalam sejarah negara bermula hujung Mei ini, sebagai usaha memperkasa semula seni warisan Melayu.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, pementasan tersebut bukan hanya bersifat hiburan, malah menjadi platform penting dalam memupuk kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai warisan dan jati diri bangsa.

“Dua daripada tiga pementasan berkenaan menampilkan tokoh wanita Melayu yang berwibawa seperti Tun Fatimah, Tun Kudu dan Tun Teja. Ketiga-tiga tokoh wanita ini memainkan peranan besar dalam pembentukan sejarah dan ketamadunan Melayu.

“Melalui pentas teater, kita mahu hidupkan semula semangat dan nilai perjuangan mereka agar tidak dilupakan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pementasan Teater di Panggung Bangsawan, Melaka, baru-baru ini.

Majlis itu turut hadir Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Elias.

Kalsom berkata lagi, projek pementasan ini merupakan hasil kerjasama Pertubuhan Teater Melaka dan Kumpulan Sriwana dari Singapura pada Oktober lalu.

“Pementasan ini merupakan kerjasama antara Pertubuhan Teater Melaka dan Kumpulan Sriwana dari Singapura, menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani ketika Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-22 di republik itu, pada Oktober lalu,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa komited menyokong inisiatif seni budaya yang memperkukuh identiti negeri dan pembangunan seni persembahan tradisional tempatan.

“Saya menyeru seluruh masyarakat, khususnya golongan muda, untuk hadir memberi sokongan kepada usaha ini. Marilah kita raikan warisan bangsa dan pastikan seni persembahan Melayu terus gemilang di persada dunia,” katanya.

Tiga pementasan itu bakal menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Neera Azizi, Ashraf Muslim, Al Jufferi Jamari dan Datuk Jalaluddin Hassan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN