PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang menyiasat penahanan dua lelaki Serbia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Disember lalu didakwa masuk ke negara ini secara tidak teratur, atau `fly.’
AKPS ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Perkara ini masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, portal berita melaporan dua anggota tentera Serbia dipercayai ditahan AKPS di KLIA pada 12 Disember lalu selepas disyaki masuk ke Malaysia secara tidak teratur atau sindiket ‘fly’.
Sindiket ‘fly’ ialah sindiket penipuan cop keluar masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.
Memetika sumber, portal tersebut melaporkan kedua-dua lelaki itu ditahan di Balai Berlepas Terminal 1 ketika pemeriksaan pasport untuk menaiki penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul dijadualkan berlepas pada kira-kira pukul 11 pagi hari tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati pasport kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai cap masuk terkini ke Malaysia.
“Semakan pergerakan melalui sistem MyIMMS merekodkan kemasukan mereka pada 14 November 2025 melalui KLIA Terminal 2,” katanya.
Kedua-dua lelaki Serbia itu ditahan dan disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










