Saya tidak tahan, fikir mahu lari dari set - Aiman Hakim kemurungan - Utusan Malaysia

Saya tidak tahan, fikir mahu lari dari set – Aiman Hakim kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aiman Hakim Ridza mengakui pengalaman membawakan dua karakter menerusi siri drama jenayah Bad Cop memberi kesan emosi mendalam sehingga menyebabkan dirinya mengalami kemurungan.

Menurut Aiman, jalan cerita drama berkenaan yang sarat dengan elemen gelap dan tekanan emosi membuatkan dia hampir menarik diri daripada projek tersebut walaupun penggambaran sudah berjalan kira-kira 30 peratus.

“Saya ingat lagi ketika berada dalam kereta, saya hubungi isteri dan beritahu sudah tidak tahan. Waktu itu terfikir mahu lari dari set penggambaran, tak mahu teruskan kerana emosi benar-benar terganggu.

“Ketika sedang bercakap dengan isteri, tiba-tiba saya seperti ‘hilang’ dan berbual dengan sesuatu yang lain. Isteri tenangkan saya dan suruh solat. Selepas itu, saya bertemu pengarah, Jason Chong serta penulis skrip, V. Kavivarmen untuk berbincang kerana mereka yang membentuk watak itu dalam diri saya,” katanya.

Aiman ditemui pada majlis tayangan perdana siri Astro Originals, Bad Cop di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Aiman berkata kemurungan dialaminya tidak sampai ke tahap terfikir untuk membunuh diri, namun cukup serius sehingga menjejaskan fungsi diri dan emosi harian.

“Tidak sampai mahu bunuh diri, cuma saya jadi gelisah.

“Semakin lama, jalan ceritanya semakin gelap. Saya tidak sangka manusia boleh bertindak sejauh itu. Sebab itulah saya sampai boleh bercakap dengan watak imaginasi,” jelasnya.

Mengakui sukar untuk melepaskan diri daripada karakter berkenaan, Aiman berkata kesan emosi itu masih dirasai beberapa minggu selepas penggambaran tamat sebelum beransur pulih.

“Sukar untuk keluar daripada karakter itu. Masih ada saki-baki perasaan yang tertinggal dan mengganggu fikiran.

“Alhamdulillah, keluarga dan anak-anak banyak membantu saya keluar daripada fasa itu.

“Kebiasaannya, selepas tamat penggambaran, perasaan itu akan hilang dengan sendirinya. Namun kali ini, kesannya lebih mendalam,” katanya.

Bad Cop merupakan siri adaptasi drama Jerman mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah yang bertembung dengan kembarnya yang terpisah, Imran, seorang inspektor polis.

Pertemuan itu membawa konflik emosi apabila Imran ditembak dan menyerahkan identiti polisnya kepada Emir sebagai jalan melarikan diri, dengan satu syarat iaitu menjaga keluarganya.

Selain Aiman, siri ini turut dibintangi Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff dan Whulandary Herman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN