JERANTUT: Dua beradik yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian kebakaran rumah mereka di Kampung Mogol, Ulu Tembeling di sini, 13 Mei lalu.
Berikutan kejadian itu, Muhammad Asyraf Haris Maznizan, 14, yang merupakan murid orang kurang upaya (OKU) dan adiknya, Muhammad Farish Rayyan, 12, hanya memakai baju T dan seluar trek ke sekolah atas ihsan jiran.
Bapa saudara murid berkenaan, Mohd. Zaimi Ali, 59, berkata, dalam kejadian kebakaran itu, semua pakaian seragam dan harian, peralatan belajar termasuk buku sekolah dua beradik itu hangus dijilat api yang membakar rumah pusaka didiami tujuh orang daripada sebuah keluarga.
“Dalam kejadian yang secara tiba-tiba berlaku pada pukul 7.35 petang itu, kedua-dua anak saudara saya diselamatkan, tetapi pakaian seragam, buku sekolah dan alat tulis hangus dalam kebakaran selama 45 minit.
“Anak saudara saya kini tinggal sehelai sepinggang dan memerlukan bantuan terutama pakaian ke sekolah kerana mereka tidak mampu membeli yang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Mogol, Ulu Tembeling di sini.
Katanya, ibu dan bapa dua anak saudaranya itu sudah bercerai dan mereka kini tinggal bersama bapanya, Maznizan Ali, 45.
Dia berkata, kedua-dua murid berkenaan kini di bawah jagaannya bagi urusan perbelanjaan persekolahan dan kebajikan lain berikutan bapa kedua beradik itu tidak berkemampuan kerana tidak kemampuan.
“Paling membimbangkan masa depan Muhammad Asyraf Haris kerana mengalami masalah pembelajaran sejak dari tahun satu dan tidak mampu menguruskan kehidupan sendiri.
“Kedua-dua beradik ini lebih banyak tinggal di rumah saya bagi memudahkan isteri menyediakan makan-minum dan kebajikan lain dan cuma pulang ke rumah mereka pada waktu malam sahaja.
“Saya terpaksa membantu perbelanjaan kedua-dua beradik ini melibatkan perbelanjaan hampir RM800 sebulan tidak termasuk keperluan barang barang dapur, bil elektrik dan kebajikan kami sekeluarga yang mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.
Mohd. Zaimi berkata, dia tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana kerana pendapatan tidak seberapa sebagai pekerja kebersihan sebuah premis milik kerajaan negeri dan hanya memperoleh hasil jualan ikan Sungai Tembeling pada sebelah petang untuk menampung keperluan keluarga.
Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah boleh meghubungi Mohd. Zaimi menerusi talian 0102013981 atau sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 06105-29-00021839-5 (Mohd. Zaimi). –UTUSAN










