Dakwaan gajah kembali ke lokasi anak dilanggar belum dapat disahkan

Dakwaan gajah kembali ke lokasi anak dilanggar belum dapat disahkan

RAKAMAN tular seekor gajah betina berada di sebelah lori yang melanggar seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Dakwaan gajah betina kembali semula ke lokasi anaknya mati dilanggar lori di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini semalam, belum dapat disahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, sehingga kini tiada laporan rasmi diterima berkaitan kehadiran mamalia itu di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kakitangan Perhilitan ada menjalankan pemantauan dan rondaan berkala di lokasi tersebut.

“Saya ada lihat rakaman video itu cuma saya tidak pasti ia gajah jantan atau betina, tapi saya yakin gajah lain kerana gajah betina jarang bergerak secara solo.

“Setakat ini, kami tidak menerima laporan rasmi berkaitan hal itu. Saya percaya ibu gajah itu telah bergerak mengikut kumpulan gajah lain. Jadi, saya lebih berkeyakinan itu bukan gajah sama yang kehilangan anak,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, gajah betina itu telah masuk ke dalam hutan di mana karkas anak gajah jantan yang dipercayai anaknya itu juga telah ditanam semalam.

“Dalam operasi mengeluarkan karkas anak gajah dari bawah lori, kami menggunakan ubat pelali atau bius untuk membawa ibu gajah itu jauh dari lokasi kejadian.

“Dalam kejadian semalam, kami tangkap gajah liar itu tanpa menggunakan gajah denak dan lori khas, jadi kami hantar haiwan itu masuk ke dalam hutan dalam jarak kira-kira satu kilometer,” katanya.

Tambah Yusoff, walaupun tidak dapat dipastikan secara tepat, tingkah laku haiwan tersebut yang dikenali sebagai mamalia sosial memungkinkan ia masih berada di lokasi berdekatan.

Kata beliau, sekiranya keadaan itu berlaku, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan luar jangka seperti memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar dan video.

“Saya risau juga, ada yang simpati sangat dan bila nampak gajah, berhenti nak bergambar pula kononnya dengan ibu gajah yang malang. Ini sangat berbahaya.

“Tidak mustahil ibu gajah bertindak agresif sebab gajah ini antara spesies yang mempunyai ingatan kuat, lebih-lebih lagi jika melibatkan kehilangan anak,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.50 pagi semalam, seekor anak gajah mati dilanggar lori muatan ayam selepas kenderaan itu gagal mengelak apabila haiwan tersebut meluru keluar dari hutan untuk melintas jalan.

Seekor gajah betina yang dipercayai ibu kepada anak gajah itu mengundang sebak ramai apabila dilihat ‘merapati’ kematian anaknya dengan tidak berganjak dari lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN