BOGOTA: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh berhampiran bandar Medellin, Colombia, meningkat kepada 16 orang setakat semalam, dengan operasi mencari mangsa hilang masih diteruskan.
Kejadian berlaku pada Selasa di kawasan lereng bukit di Bello, berhampiran bandar kedua terbesar di Colombia, selepas hujan lebat menyebabkan limpahan aliran sungai berdekatan.
Datuk Bandar Bello, Lorena Gonzalez berkata, keadaan tanah di kawasan bencana masih tidak stabil dan anggota penyelamat berdepan risiko besar untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Antioquia, yang terletak di bahagian barat pergunungan Andes Colombia, sering terjejas akibat tanah runtuh ketika musim hujan.
Sekurang-kurangnya lima terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pinggir bandar Medellin, Sabaneta, bulan lalu.- AFP










