Hampir maut sebelum cemerlang STPM

Hampir maut sebelum cemerlang STPM

NUR Umairah Mohd. Desa (kanan) bersama ahli keluarganya pada Majlis Apresiasi STPM Peringkat Negeri 2024 di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tragedi hampir maut beberapa hari sebelum peperiksaan semester kedua Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak mematahkan semangat Nur Umairah Mohd. Desa, 20, untuk mencapai keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin itu berkata, kemalangan berlaku pada Ogos tahun lalu melibatkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah kereta yang hendak memasuki simpang jalan.

Katanya, impak pelanggaran menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada bahagian lutut.

“Rasa macam nak mati waktu itu kerana tidak tahan menanggung kesakitan. Disebabkan kemalangan itu juga persediaan menghadapi peperiksaan terjejas dan mendapat keputusan tidak memuaskan dalam tiga mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, pengajian am serta pengajian perniagaan.

“Saya tekad untuk mengambil peperiksaan ulangan bagi memperbaiki keputusan tersebut. Berkat dorongan guru, rakan dan keluarga saya berjaya mendapat keputusan cemerlang PNGK 4.00,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi STPM Peringkat Negeri 2024 di sini, semalam.

Nur Umairah dan 36 calon lain menerima sijil penghargaan berserta plak disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Mahfudzah Mohamed Noor.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Ahmad Hanif Roslan, 20, berkata, terbukti tindakannya memasuki tingkatan enam adalah tepat.

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan Kategori Mata Pelajaran Sejarah itu berkata, pada mulanya dia berhasrat mengikuti matrikulasi tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana terlepas hari pendaftaran.

“Saya cuba belajar dahulu untuk menyesuaikan diri dan selepas itu baru datang keyakinan untuk bawa setiap subjek. Saya sentiasa fokus dan memberi tumpuan ketika guru mengajar dan bertanya jika tidak faham.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapat PNGK 4.00 walaupun tingkatan enam bukanlah pilihan pertama. Selepas ini saya berhasrat menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Malaya (UM) dan bercita-cita menjadi seorang pendidik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×